
“Menjadi kewajipan polis untuk menerima laporan sedemikian dalam apa jua keadaan,” katanya dalam catatan Twitter mengenai kontroversi etika pemakaian untuk pelawat ke balai polis.
Musa berkata, tiada orang akan pergi ke balai polis melainkan terpaksa kerana mereka memerlukan bantuan.
“Ia bukan saja dalam kes hidup dan mati, justeru tidak kisah bagaimana seseorang itu harus berpakaian. Menjadi kewajipan polis menerima laporan sedemikian dalam apa jua keadaan.”
Beliau berkata demikian selepas Acryl Sani dilaporkan berkata, penguatkuasaan etika pemakaian orang ramai ketika berurusan di pejabat kerajaan terpulang kepada budi bicara ketua jabatan dan kelonggaran mungkin diberikan dalam kes kecemasan tertentu.
Awal minggu ini, seorang wanita dilaporkan dilarang memasuki IPD Kajang, walaupun berseluar pendek menutup bahagian lututnya.
Wanita itu hanya dibenarkan memasuki balai polis selepas kakaknya membawa seluar panjang. Dia ke IPD Kajang untuk membuat laporan mengenai kemalangan jalan raya.
Terdahulu, Acryl Sani pada Sabtu dilaporkan berkata, mereka yang pergi ke balai polis perlu menjaga prinsip kelima Rukun Negara dan berpakaian sopan serta menjaga akhlak.
“Kita boleh membuat kelonggaran berdasarkan jenis kecemasan dihadapi pengadu ketika membuat laporan di balai polis,” katanya.