Anwar tak hadir sambutan Thaipusam, jalani pemeriksaan di IJN

Anwar tak hadir sambutan Thaipusam, jalani pemeriksaan di IJN

Perdana menteri memaklumkan doktor mengesahkan kesihatannya di tahap baik.

Anwar Ibrahim berbincang dengan pegawai di pejabatnya selepas menjalani pemeriksaan di IJN hari ini. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan tidak dapat menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves hari ini kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Perkara itu turut dimaklumkan Anwar dalam hantaran terkini di Facebooknya.

“Pagi tadi jalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Seusai pemeriksaan dan doktor mengesahkan kesihatan saya berada pada tahap yang baik, saya langsung menyambung tugasan bersama staf, Alhamdulillah,” katanya dalam catatan yang disertakan gambar beliau sedang berbincang dengan pegawainya.

Antara mereka yang kelihatan dalam gambar itu adalah Setiausaha Politik Kanannya, Shamsul Iskandar Md Akin dan Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangannya, Nurul Izzah.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar ketika ditemui di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves memaklumkan perdana menteri tidak hadir kerana tidak sihat.

“Perdana Menteri sepatutnya hadir ke sambutan Thaipusam (di Batu Caves) hari ini, namun beliau menghubungi saya pagi tadi memaklumkan beliau tidak sihat dan terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya menurut Astro Awani.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata, perdana menteri turut memaklumkan perjumpaan akan diadakan dengan semua jawatankuasa kuil di seluruh negara untuk menyampaikan amanatnya masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.