
Naib Pengerusi PKR Perlis Asrul Nizan Abd Jalil berkata, akar umbi tidak senang jika parti terpaksa menerima kemasukan pemimpin lawan menjadi ahli.
“Sebagai sebuah parti membawa agenda reformasi, kita mengalu-alukan sesiapa sahaja ingin menyertai PKR, khususnya untuk menjayakan agenda Malaysia Madani. Namun, kita sudah ada pengalaman sebelum ini di mana adanya pemimpin yang tergolong dalam kategori ‘tong sampah’.
“Berapa ramai sudah pemimpin lawan kononnya tokoh dari parti tertentu masuk ke PKR dan diangkat sehingga mendapat jawatan namun akhirnya mereka khianat dengan menikam kita balik,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Zahidi yang juga bekas ketua Umno Padang Besar memberitahu beliau bersama 100 ahli lain akan menyerahkan borang keahlian PKR kepada ketua bahagian tersebut.
Zahidi dipecat daripada Umno setelah bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi selepas tidak dicalonkan pada PRU15. Beliau digantikan oleh Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan.
Beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila sekadar meraih 1,939 undi, dan hilang deposit. Kerusi Parlimen Padang Besar dimenangi calon Perikatan Nasional (PN) Rushdan Rusmi.
Kata Asrul lagi, sekiranya PKR tetap menerima Zahidi sebagai ahli, beliau tidak menolak kemungkinan akar umbi berkecil hati.
“Zahidi merupakan bekas pemimpin Umno dan sekiranya beliau diterima, maka pastinya langkah itu akan menjejaskan hubungan dalam kerajaan perpaduan sehingga memberi kesan di peringkat nasional,” katanya yang juga bekas ADUN Sena.