Syarikat p-panggilan beri jaminan teliti aduan perluasan kawasan, upah tak setimpal

Syarikat p-panggilan beri jaminan teliti aduan perluasan kawasan, upah tak setimpal

Lebih 50 penghantar makanan bermotosikal sebelum itu menyerahkan memorandum kepada sebuah syarikat p-panggilan membantah perubahan baharu yang dibuat sejak 30 Jan lalu.

Pengerusi Ehailing Taskforce PKR, Bryan Ng Yih Miin (kiri) menyerahkan memorandum kepada wakil syarikat e-panggilan (baju hitam) selepas pertemuan selama sejam di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran makanan (p-panggilan) akan meneliti aduan pekerjanya yang membantah perluasan zon penghantaran dengan upah yang tidak setimpal.

Pengerusi Ehailing Taskforce PKR, Bryan Ng Yih Miin berkata jaminan itu dinyatakan wakil syarikat itu dalam pertemuan lebih sejam, sebentar tadi.

Ng sebelum itu bersama lebih 50 penghantar makanan bermotosikal menyerahkan memorandum membantah perubahan baharu yang dibuat sejak 30 Jan lalu.

“(Syarikat) beri jaminan pihaknya akan meneliti segala isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu dan kami akan berhubung setiap minggu.

“Mereka juga mahu kita memberikan maklum balas agar dapat mengetahui apa yang berlaku dan mereka boleh menambahbaik khidmat mereka, itu jaminan syarikat,” katanya pada sidang media selepas menghantar memorandum itu di South Gate, Kuala Lumpur.

Sementara itu, seorang penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Hazim berkata, masalah timbul apabila mereka perlu menghantar makanan ke sebuah lokasi yang jauh.

“Bayangkan makanan diambil di sebuah restoran di Petaling Jaya, dan perlu dihantar ke Pelabuhan Klang, bayaran yang diterima hanya sekitar RM7.

“Kadar bayaran yang tak setimpal ditambah dengan lokasi jauh sekaligus memberikan kesan dari segi kos kepada penghantar makanan,” katanya.

Katanya, langkah pembesaran zon itu dilihat baik bagi menambah pendapatan penghantar makanan, namun perlu selari dengan upah yang diterima.

Penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Zaim pula berkata, pendapatan yang diperoleh turut berkurangan gara-gara pelaksanaan kaedah terbaharu syarikat.

“Sebelum ini, kami boleh dapat lebih kurang RM1,000 seminggu, namun dengan pelaksanaan pembesaran zon ini, upah yang diterima nak cecah RM1,000 mungkin sukar.

“Ada antara kami ini menjadikan kerjaya penghantar makanan sebagai pekerjaan tetap, jadi bila upah diterima kurang, memang ia sesuatu yang amat membebankan untuk kami menanggung keperluan keluarga,” katanya kesal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.