
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim, berkata setakat ini pihaknya dimaklumkan seramai 80 mangsa membuat laporan polis dengan keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM4.6 juta.
“(Sindiket) ini menggunakan nama kerabat diraja, pegawai polis berpangkat tinggi, dan pendakwah terkenal, membuatkan mangsa berasa yakin sehingga diperguna sindiket penipuan,” katanya pada sidang media di IPD Sentul hari ini, yang dihadiri 40 mangsa.
Hishamuddin berkata, aplikasi itu menjanjikan mata ganjaran bagi setiap pembelian atau perkhidmatan di dalamnya, namun setelah membelanjakan wang di dalam aplikasi tersebut, mangsa gagal menebus ganjaran apabila aplikasi itu gagal berfungsi.
Salah seorang mangsa, Rafiq, 40, berkata sindiket itu menjamin aplikasi e-ganjaran itu patuh syariah, memperdaya pengguna beragama Islam.
“Saya tengok, hampir 900 ribu pengguna daftar aplikasi ini. Ada yang sanggup tambah nilai wang tinggi demi mengumpul dan menebus mata ganjaran, sehingga guna wang simpanan anak belajar. Malah ada yang sampai bercerai berai kerana ditipu.
“Pernah saya minta penjelasan daripada pihak atasan aplikasi tersebut, tetapi kenyataan mereka seolah-olah mencabar saya,” kata Rafiq, seorang penjawat awam.
Seorang lagi mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Mandy, 40, mula menggunakan aplikasi tersebut tiga tahun lepas, dan katanya, telah rugi hampir RM30 ribu.
“Ingat dapat jimat lebih banyak wang, namun menjelang Tahun Baharu Cina, pelbagai alasan diberikan apabila saya ingin mengeluarkan wang dalam aplikasi.” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Musa Hassan, juga bekas ketua polis negara menggesa agar pihak berkuasa menyiasat kes ini secara terperinci.
“Ini satu bentuk penipuan, justeru kita minta pihak polis, terutama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) membuat siasatan terperinci dan meneliti semula kes ini serta menangkap mereka yang terlibat,” katanya yang turut hadir pada sidang media itu.