Sekolah antarabangsa dah lama mula 8 pagi, kata pensyarah

Sekolah antarabangsa dah lama mula 8 pagi, kata pensyarah

Anuar Ahmad berkata rungutan ibu bapa bekerja juga tidak berbangkit kerana mereka boleh kekal menghantar anak seperti biasa.

Sebelum ini, sebahagian besar ibu bapa bekerja tidak bersetuju dengan cadangan sesi persekolahan 8 pagi sambil menyifatkannya sebagai ‘mengarut’.
PETALING JAYA:
Seorang pensyarah kanan tampil mempertahankan cadangannya berhubung sesi persekolahan bermula 8 pagi, dengan menegaskan sistem itu sudah lama diamalkan di sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kerajaan Negeri juga sudah lama mengamalkan sistem sekolah itu.

Malah, katanya, rungutan ibu bapa bekerja bahawa sesi sekolah dilewatkan ke 8 pagi akan menjejaskan pengurusan waktu juga tidak berbangkit kerana ibu bapa boleh kekal menghantar anak mereka kekal seperti biasa.

“Anjakan masa 30 minit memberikan kelapangan pada keluarga yang memerlukan lebih masa di awal pagi,” katanya dalam kenyataan.

“Guru kekal hadir ke sekolah sebelum jam 7.30 pagi, mengikut waktu yang telah ditetapkan oleh KPM. Pintu pagar sekolah kekal dibuka seperti waktu sekarang. Tiada yang berubah.”

Sebelum ini, FMT melaporkan sebahagian besar ibu bapa terutama yang bekerja tidak bersetuju cadangan sesi persekolahan 8 pagi itu, sambil menyifatkan ia sebagai “mengarut dan tidak logik”.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut berpandangan waktu pembelajaran yang mungkin menjadi singkat memberikan lebih tekanan kepada para guru menghabiskan silibus, selain memastikan tiada pelajar tercicir.

Tambahnya, amalan sistem 8 pagi juga membolehkan usaha untuk mengurangkan silibus atau bilangan mata pelajaran dibuat Kementerian Pendidikan, seperti mana dicadangkan ramai pihak.

“Misalnya menggabungkan pendidikan Islam dengan KAFA. Tidak ada keperluan menambah masa sesi petang sehingga sesi sekolah petang tamat lebih lewat daripada sekarang,” katanya sambil menambah sistem itu boleh dimulakan di sekolah satu sesi terlebih dahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.