Orang Islam di Johor dilarang sertai perarakan Thaipusam, sambutan Ponggal

Orang Islam di Johor dilarang sertai perarakan Thaipusam, sambutan Ponggal

Mufti Johor Yahya Ahmad menjelaskan, perayaan ini ditakrifkan sebagai ritual keagamaan menurut fatwa kerana ia 'khusus' untuk penganut Hindu.

Ritual yang melibatkan penyembahan dewa-dewa, seperti Thaipusam, termasuk dalam fatwa yang dikeluarkan MAINJ semalam, kata Mufti Johor Yahya Ahmad.
PETALING JAYA:
Umat Islam di Johor dilarang mengikuti perarakan Thaipusam dan mengambil bahagian dalam sambutan Pongal menurut fatwa baharu yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAINJ), kata mufti negeri Yahya Ahmad.

Beliau menjelaskan bahawa perayaan ini ditakrifkan sebagai ritual keagamaan menurut fatwa itu kerana ia “khusus” untuk penganut Hindu.

“Sekiranya ianya diadakan di rumah-rumah ibadat agama berkenaan, maka ianya termasuk dalam maksud fatwa ini,” katanya kepada FMT.

“Sebaliknya, sekiranya dibuat di luar premis-premis ibadat bukan Islam bukan untuk tujuan ritual seperti rumah-rumah terbuka, majlis makan malam, maka ianya dibenarkan dengan mengikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh MAINJ.”

Sementara itu, “tidak timbul masalah dalam Islam” mengenai menghadiri pengebumian orang bukan Islam, kata Yahya.

“Yang tidak dibenarkan ialah apabila menyertai ritual mengendalikan jenazah yang berkenaan,” tambahnya.

Yahya berkata, fatwa itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama untuk menjelaskan kepada umat Islam apa yang dibenarkan dan dilarang dalam Islam.

Bagaimanapun, katanya, fatwa itu tidak menyentuh tentang ibadah bukan Islam yang tidak melibatkan sebarang bentuk penyembahan berhala.

“Ritual ini … kalau (dalam) Islam, disebut sebagai ibadah. Kalau bukan Islam, disebut sebagai penyembahan kepada dewa-dewa dan sebagainya.

“Kalau ia tidak melibatkan sesuatu ritual, maka ia tidak dimaksudkan dalam fatwa ini,” katanya.

Semalam, MAINJ mengeluarkan fatwa mengenai larangan ke atas orang Islam menghadiri upacara ritual perayaan agama lain di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memperkenan fatwa itu berkuat kuasa semalam, lapor Bernama.

Beliau berkata, ulama daripada empat mazhab, iaitu Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali sepakat hukum umat Islam menghadiri upacara perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang.

Bagaimanapun, tambahnya, menurut sebilangan ulama, hukum meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa upacara ritual keagamaan adalah harus dan dibenarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.