Kontroversi bengkel SPM tak akan berlaku lagi, janji Fadhlina

Kontroversi bengkel SPM tak akan berlaku lagi, janji Fadhlina

Menteri pendidikan memberi amaran kepada mana-mana sekolah yang membenarkan kejadian seperti itu berlaku.

Fadhlina Sidek berkata KPM akan mendengar pandangan ibu bapa terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan cadangan untuk menganjak sesi persekolah harian bermula jam 8 pagi.
KUALA LUMPUR:
Kontroversi membabitkan bengkel SPM yang dianjurkan sebuah sekolah kerajaan untuk pelajar Islam sahaja pada bulan lalu tidak akan berlaku lagi, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

“Diskriminasi tidak dibenarkan dalam sistem pendidikan dan kami akan memastikan kejadian seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri seminar Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini hari ini.

Fadhlina juga memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sekolah yang membenarkan kejadian seperti itu berlaku.

Isu itu mula timbul pada 23 Jan lalu apabila pelajar SPM SMK Infant Jesus Convent mendakwa sekolah itu mendiskriminasi pelajar bukan Islam dengan menganjurkan bengkel SPM untuk pelajar Islam sahaja.

Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bengkel itu untuk semua pelajar tetapi dipecahkan kepada dua sesi untuk tidak mengganggu pelajar yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

Kementerian juga mengakui pihak sekolah sepatutnya berkomunikasi dengan baik mengenai penganjuran bengkel itu.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu juga memberitahu perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik.

Apabila ditanya apakah tindakan akan diambil terhadap sekolah di Johor itu, Fadhlina berkata, kes itu diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, “dan isu itu sudah diselesaikan.”

Sementara itu, mengulas cadangan supaya waktu pembelajaran sekolah di Semenanjung dianjakkan bermula dari jam 8 pagi berbanding 7.30 pagi ketika ini, Fadhlina berkata, pihaknya belum memutuskan perkara itu dan ia bukannya fokus utama kementerian.

“Kami mendengar cadangan itu daripada pakar tetapi kami juga perlu mendengar pandangan ibu bapa juga,” katanya.

Baru-baru ini, pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad menggesa kerajaan menukar waktu persekolah di Semenanjung bermula 8 pagi bagi mengurangkan beban guru, ibu bapa dan pelajar.

Katanya, kerajaan perlu bersimpati dengan guru, ibu bapa dan pelajar di mana sebahagian daripada mereka perlu bangun seawal 4.30 pagi untuk bersiap ke sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.