Fatwa baharu tak bercanggah konsep ‘Bangsa Johor’, kata Sultan Ibrahim

Fatwa baharu tak bercanggah konsep ‘Bangsa Johor’, kata Sultan Ibrahim

Sultan Johor bertitah umat Islam masih boleh menghadiri majlis perayaan membabitkan agama lain.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah rakyat yang masih keliru boleh berjumpa mufti Johor untuk penjelasan lanjut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, fatwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) semalam yang melarang umat Islam menghadiri perayaan dan upacara ritual masyarakat bukan Islam, tidak bercanggah dengan konsep “Bangsa Johor”.

Titah baginda, konsep Bangsa Johor diperkenal negeri itu bagi meraikan kepelbagaian kaum dan agama yang dianuti rakyat berbilang kaum.

Sultan Johor bertitah, fatwa itu adalah garis panduan untuk umat Islam.

“Fatwa itu hanya melarang umat Islam daripada mengambil bahagian dalam ritual agama lain. Ia adalah garis panduan untuk mereka. Mereka masih boleh menghadiri majlis perayaan agama lain,” titahnya dalam kenyataan.

Baginda bertitah, diharapkan dengan penjelasan, ia akan dapat menghentikan sebarang kekeliruan mengenai fatwa baru itu kerana hanya menjelaskan perkara dibenarkan kepada umat Islam dan dilarang dalam Islam.

“Jika masih keliru, sila berjumpa mufti negeri untuk penjelasan lanjut,” titah baginda.

Titah baginda lagi, semua agama menekankan nilai murni seperti belas kasihan, hormat-menghormati, toleransi, kesederhanaan dan kebaikan dan rakyat Malaysia perlu memberi tumpuan terhadap nilai yang menyatukan sesama masyarakat, bukannya perbezaan kaum atau agama satu sama lain.

MAINJ semalam mengeluarkan fatwa mengenai larangan ke atas orang Islam menghadiri upacara ritual perayaan agama lain di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata ia sebagai menjunjung titah Sultan Ibrahim yang memperkenan fatwa itu berkuat semalam.

Beliau berkata, ulama daripada empat mazhab, iaitu Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali sepakat hukum umat Islam menghadiri upacara perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang.

Mufti Johor Yahya Ahmad ketika dihubungi FMT menjelaskan, mengikut fatwa itu, umat Islam di Johor dilarang mengikuti perarakan Thaipusam dan mengambil bahagian dalam sambutan Pongal.

Beliau menjelaskan bahawa perayaan itu ditakrifkan sebagai ritual keagamaan menurut fatwa berkenaan kerana ia “khusus” untuk penganut Hindu.

“Sekiranya ia diadakan di rumah-rumah ibadat agama berkenaan, maka ianya termasuk dalam maksud fatwa ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.