Bekas ADUN Sanglang cedera dipukul lelaki kurang siuman

Bekas ADUN Sanglang cedera dipukul lelaki kurang siuman

Kejadian berlaku ketika Saad@Md Zain Hamzah selesai menunaikan solat Subuh di Masjid Alwi, Kangar, pagi tadi.

Bekas ADUN Sanglang dua penggal Saad@Md Zain Hamzah cedera dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas ADUN Sanglang dua penggal cedera dipukul seorang lelaki disyaki tidak siuman dalam kejadian di Masjid Alwi, Kangar, hari ini.

Dalam kejadian pada 5.30 pagi, mangsa Saad@Md Zain Hamzah, 87, dari Bintong, Kangar cedera di kepala akibat dipukul suspek.

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang bersiap-siap untuk memasuki masjid itu bagi menunaikan solat Subuh berjemaah.

Beliau berkata, mangsa sebelum itu tiba di perkarangan Masjid Alwi sekitar 5.15 pagi dan berada dalam kenderaannya untuk mendengar tazkirah selama 15 minit.

“Sebaik tazkirah selesai, mangsa berjalan ke arah hadapan masjid dan berhenti sebentar untuk menyumbang ke tabung anak yatim.

“Tiba-tiba, mangsa didatangi seorang lelaki yang mengamuk yang terus memukulnya menyebabkan mangsa terjatuh di lantai perkarangan masjid,” katanya menurut Harian Metro.

Mangsa melarikan diri ke satu sudut di masjid berkenaan dan meminta bantuan pengawal keselamatan untuk menghubungi polis dan ambulans.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk rawatan.

“Suspek berusia 65 tahun kemudian ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Kangar untuk siasatan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kini dirawat di HTF.

“Suspek dipercayai mempunyai masalah mental namun motif serangan masih disiasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.