
Gabungan itu mungkin tidak dapat “menjual” naratif kerajaannya yang “bersih dan stabil”, manakala pembiayaan untuk jentera pilihan rayanya mungkin terjejas, kata Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya.
Pada PRU lepas, PN berkempen mampu menubuhkan kerajaan yang bebas rasuah, dan menonjolkan fakta bahawa pemimpin seteru politiknya berdepan tuduhan di mahkamah.
“Ini tumpuan mereka dan nampaknya, ia akan memakan diri,” katanya kepada FMT.
Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan bahawa akaun Bersatu telah dibekukan.
Ini difahamkan mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah menafikan dakwaan bahawa kerajaannya menyalahgunakan RM92.5 bilion semasa beliau menjadi perdana menteri.
Sementara itu, setiausaha agung parti itu, Hamzah Zainudin, menuduh kerajaan menggunakan agensi anti-rasuah itu sebagai alat politik, dakwaan yang dinafikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Awang Azman berkata, dakwaan Hamzah tidak dapat dipertahankan kerana SPRM telah menahan dan mendakwa individu daripada pihak pembangkang ketika PN menjadi kerajaan.
Beliau juga berkata, akan menjadi sukar untuk parti itu menggerakkan jenteranya kerana akaunnya telah dibekukan.
“Bersatu mungkin terpaksa menjual asetnya, sama seperti Umno ketika akaunnya dibekukan pada 2018,” katanya.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, tidak kira apa hasil siasatan SPRM, nasi sudah menjadi bubur.
Beliau berkata, perkara ini akan menjejaskan cara Bersatu berkempen pada PRN, sambil menambah, gabungan itu mungkin akan meningkatkan serangannya terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan tuduhan rasuah.
“Mereka akan menyerang Zahid, tidak ragu-ragu lagi, tetapi ia akan menjadi sangat berbahaya kerana ia akan berpatah balik kepada mereka,” katanya, merujuk kepada dakwaan Bersatu menerima sumbangan berjumlah lebih RM300 juta.
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, sokongan kepada PN akan terjejas jika Bersatu tidak dapat terus memberikan “dorongan material” kepada penyokongnya kerana akaunnya dibekukan.