SPRM beku akaun Bersatu, kata sumber parti

SPRM beku akaun Bersatu, kata sumber parti

Pembekuan akaun itu dipercayai berkaitan siasatan dakwaan penyelewengan dana pakej rangsangan Covid-19.

Difahamkan SPRM membekukan akaun-akaun Bersatu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun-akaun Bersatu, menurut sumber parti.

Sumber yang enggan namanya didedahkan itu berkata, akaun-akaun terbabit dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Difahamkan bahawa pembekuan akaun Bersatu itu berkaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19.

FMT sedang cuba menghubungi SPRM untuk mendapatkan komen.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini menafikan dakwaan berlakunya penyelewengan dana RM92.5 bilion ketika pentadbirannya.

Muhyiddin menjawab dakwaan yang mengaitkan Bersatu dengan penahanan CEO sebuah syarikat swasta oleh SPRM kerana menjadi orang tengah untuk mengagihkan projek kerajaan.

Sumber yang dekat dengan perkara itu berkata beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju untuk membayar komisen antara 3% hingga 5% yang didepositkan ke akaun sebuah parti politik sebagai sumbangan politik.

Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan tuduhan bahawa beliau mengarahkan beberapa individu untuk mengutip komisyen berkenaan yang akan didepositkan dalam akaun parti itu.

Muhyiddin juga berkata perbelanjaan fiskal di bawah pakej rangsangan ekonomi bukanlah dalam bentuk projek yang boleh diseleweng kerana kebanyakkannya adalah pemberian tunai secara terus kepada orang ramai.

Beliau juga menegaskan bahawa akaun Bersatu adalah telus dan semua perbelanjaan direkodkan, diaudit dan dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.