
Katanya, beliau akan membentangkan perincian untuk mendapatkan peruntukan lebih besar itu dengan Kementerian Kewangan.
“Isu-isu berbangkit seperti kebajikan, kesihatan fizikal dan mental petugas kesihatan, sistem sumber manusia, penetapan gaji saksama, jaminan pekerjaan serta isu lain sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana tiada penyelesaian mudah untuk isu-isu ini,” katanya dalam catatan Twitter.
Beliau berkata demikian selepas mengambil maklum pandangan petugas kesihatan berhubung situasi semasa sistem kesihatan negara.
Zaliha berkata, KKM mengambil berat dan sedang melakukan pelbagai langkah menyeluruh dari aspek dasar serta teknikal.
Katanya, pertemuan berkala dengan semua pihak berkepentingan juga akan diteruskan bagi mendapatkan maklum balas, khasnya daripada kakitangan di lapangan, termasuk mengenal pasti penyelesaian jangka pendek dan panjang.
“Sebahagian besar proses perubahan sistem kesihatan ini menuntut pendekatan merentasi agensi.
“Semua perkara yang disebut juga merupakan sebahagian daripada pembaharuan dan keutamaan Kertas Putih Kesihatan, yang mana ia akan dijadikan penanda aras kepada pelbagai reformasi sektor kesihatan pada masa akan datang.”
Awal minggu ini, portal berita kesihatan, CodeBlue melaporkan sejumlah pekerja sektor penjagaan kesihatan awam mengalami “tahap kemarahan dan rasa tidak puas hati yang tinggi” terhadap situasi semasa sistem penjagaan kesihatan awam.
Menurut laporan itu, 95% daripada 1,652 responden dalam tinjauan atas taliannya, yang dilakukan secara eksklusif dengan pekerja penjagaan kesihatan kerajaan di seluruh negara, percaya sistem penjagaan kesihatan itu berada dalam “krisis”.
Tambahan, 73% daripada responden itu (1,205 orang) membayangkan ereka mungkin meninggalkan perkhidmatan kesihatan awam.