
Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata doktor junior memerlukan notis awal sebelum dipindahkan ke negeri lain agar dapat menguruskan pelbagai komitmen kewangan, seperti sewa dan bil, mengatur perjalanan, mencari penginapan dan mengemas barangan.
Beliau berkata, tidak wajar mengharapkan MO melapor diri untuk bertugas di negeri lain dalam tempoh singkat.
“Ada yang mungkin perlu mengatur penjagaan orang tersayang.
“Jika mereka ibu bapa, mereka mungkin perlu membawa anak-anak bersama dan mencari pusat jagaan atau mendaftarkan anak di sekolah baharu,” katanya dalam kenyataan.
Muruga berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti isu berkenaan dan mempertanggungjawabkan jabatan berkaitan atas perancangan yang lemah itu.
“JPA dan KKM mesti memandang serius isu itu dan memastikan kejadian seumpamanya tidak berulang,” katanya.
Semalam, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, MO perlu diberi notis secukupnya mengenai penempatan melainkan atas sebab-sebab yang sah, seperti kecemasan atau tindakan tatatertib.
Lee berkata, pemindahan doktor dirancang awal, yang bermakna tiada alasan untuk memaklumkan kepada MO pada saat akhir.
Seorang pengguna Twitter @thepettykutty berkongsi pengalamannya berpindah kerana diberi penempatan pada saat akhir oleh KKM.
“Ini saya yang terpaksa memindahkan keseluruhan hidup saya dari Pahang ke Kedah, kemudian mengurangkan bagasi untuk terbang ke Kuching sebelum diberi penempatan sejauh tiga hingga empat jam perjalanan dan diminta melapor diri pada keesokan harinya,” katanya dalam ciapan disertai gambar dirinya menunggu di tepi jalan bersama bagasi.
“Nasib baik seorang pemandu pejabat kesihatan daerah yang baik hati datang menyelamatkan saya. Saya tidak selalu bercakap tentang pengalaman seperti ini, tetapi perpindahan ini antara titik paling rendah dalam kerjaya saya.
“Sistem ini perlu diubah, sampai bila kita perlu lalui (perkara) begini?”
FMT menghubungi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa untuk mendapatkan komen.