Akaun Bersatu dibeku lebih 2 minggu lalu, kata ketua SPRM

Akaun Bersatu dibeku lebih 2 minggu lalu, kata ketua SPRM

Azam Baki berkata, siasatan masih berterusan dan saksi akan dipanggil.

Azam Baki mengesahkan akaun Bersatu dibekukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata, akaun Bersatu dibekukakan agensi anti-rasuah itu lebih dua minggu lalu.

Beliau ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan SPRM masih berterusan dan saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut, harap bersabar,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, sumber parti mengesahkan akaun Bersatu dibekukan SPRM mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu itu ada kaitan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebelum ini menafikan dakwaan berlakunya penyelewengan dana RM92.5 bilion ketika pentadbirannya.

Muhyiddin menjawab dakwaan mengaitkan Bersatu dengan penahanan CEO sebuah syarikat swasta oleh SPRM kerana menjadi orang tengah untuk mengagihkan projek kerajaan.

Sumber berkata, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisen 3% hingga 5% yang dideposit ke akaun sebuah parti politik sebagai sumbangan politik.

Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan tuduhan beliau mengarahkan beberapa individu mengutip komisen itu yang akan dideposit ke akaun partinya.

Muhyiddin juga berkata, perbelanjaan fiskal di bawah pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diseleweng kerana kebanyakannya adalah pemberian tunai secara terus kepada orang ramai.

Beliau menegaskan akaun Bersatu telus dan semua perbelanjaan direkodkan, diaudit dan dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunan seperti termaktub dalam perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.