Saya tak pengaruhi saksi kes Nhaveen, kata aktivis

Saya tak pengaruhi saksi kes Nhaveen, kata aktivis

Arun Dorasamy berkata beliau sekadar membantu rakan Nhaveen, T Previin, mendraf laporan polis dalam bahasa Melayu berdasarkan apa dikatakan remaja itu dalam bahasa Tamil.

Arun Dorasamy (kanan) berbual dengan ibu T Nhaveen, D Shanti sambil diperhatikan T Previin.
GEORGE TOWN:
Aktivis hak asasi manusia Arun Dorasamy menafikan beliau mempengaruhi saksi utama dalam kes bunuh T Nhaveen.

Saksi pendakwaan itu berkata beliau sekadar membantu rakan Nhaveen, T Previin, mendraf laporan polis dalam bahasa Melayu berdasarkan apa dikatakan remaja itu dalam bahasa Tamil.

“Peranan saya untuk menentukan fakta supaya dapat digunakan dalam tindakan sivil pada masa depan,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abdul Halim.

Previin dalam keterangannya sebelum ini memaklumkan laporan polisnya pada 2021, iaitu empat tahun selepas kejadian, dibuat olehnya seterusnya mengakibatkan barisan pembelaan merumuskan ia telah direka berdasarkan arahan Arun.

Bagaimanapun, Arun menafikan dakwaan itu sebaliknya menegaskan laporan baharu itu dibuat atas desakan ibu Nhaveen serta keluarga Previin bagi menambah butiran yang tertinggal dalam laporan pertama.

“Itu memang laporan polis Previin sendiri. Saya hanya membantu menterjemahkan aduannya daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu menggunakan komputer riba, yang disimpan dalam pemacu kilat dan seterusnya disalin ke laporan polis berkenaan,” katanya.

Peguam bela Naran Singh (kanan) dan Maanveer Singh Dhillon (tengah) berbincang di luar mahkamah.

Arun turut berkata telah menemui seorang bernama M Kugendran yang berpotensi menjadi saksi pada Oktober 2021, dan menafikan dakwaan bahawa lelaki itu diancam dan dikasari ketika pertemuan berkenaan.

“Saya menghubungi Kugendran untuk menemuinya kerana namanya disebut Previin sebagai seorang saksi pergaduhan itu. Kugendran berkata tidak tahu apa yang berlaku pada malam itu (ketika Nhaveen dipukul),” katanya.

Selain itu Arun turut disoal peguam bela Naran Singh mengenai tindakannya menyiasat kes itu tanpa izin pihak polis, sebaliknya hanya “mengumpulkan fakta” yang kemudian diserahkan kepada polis.

Beliau turut menafikan telah mempengaruhi saksi untuk memberi keterangan terhadap lima tertuduh kes itu.

S Gopinaath, 30, J Ragesuthan, 22, S Gokulan, 22, dan dua pesalah juvana didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah taman di Jalan Bunga Raya antara jam 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017. Mereka turut didakwa mencederakan Previin berhampiran Karpal Singh Learning Centre di Bukit Gelugor pada malam sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.