
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan Kementerian Kewangan sebelum pembentangan Bajet 2023, yang dijadualkan pada 24 Feb.
“Saya akan bincang dengan Kementerian Kewangan kerana apabila bajet (untuk penganjuran sukan) semakin berkurangan, dan kita tak bagi insentif yang membebaskan penganjur untuk dapatkan penaja sendiri, jika tak buat sesuatu, industri sukan akan mati,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, permintaan kepada Kementerian Kewangan untuk insentif cukai yang menarik pada tahun terdahulu tidak berjaya, sambil menambah bahawa “tindakan kritikal” perlu diambil sekarang.
Beliau mengulas isu dibangkitkan pemain industri selepas sesi dialog awam kelima KBS bersama mereka.
Isu lain dibangkitkan, menurut Yeoh, termasuk komplikasi yang timbul apabila penganjur perlu mendapatkan permit daripada pelbagai kementerian dan pihak berkuasa.
Yeoh mengumumkan mulai Februari, KBS akan menganjurkan “hari terbuka pusat sehenti” setiap bulan bersama kementerian berkaitan, seperti Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, supaya penganjur acara sukan dan pihak berkepentingan dapat berjumpa semuanya sekali gus.
“Program sebegini untuk menyenangkan semua, dan ini adalah mandat oleh perdana menteri agar rakyat tidak dibebankan oleh SOP yang banyak,” katanya.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata, industri juga menekankan ketidakselarasan syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan berhubung operasi fasiliti sukan.
Beliau memberi contoh bagaimana fi pelesenan dikenakan secara tidak seimbang, kerana ia tidak berdasarkan jenis industri.
“Satu contoh, pengiraan fi pelesenan ikut kaki persegi. Jika dibandingkan gim dengan syarikat tembakau (yang berkeluasan lebih kecil), syarikat tembakau bayar (fi pelesenan) lebih murah.
“Jadi, sudah tiada insentif untuk promosikan gaya hidup sihat,” katanya.
Yeoh berkata, pihak berkepentingan dalam industri sukan turut meminta skim insurans lebih murah, khususnya untuk sukan berisiko tinggi seperti ragbi.