Pakej internet talian tetap akan diperkenal untuk B40

Pakej internet talian tetap akan diperkenal untuk B40

Ia menyusul pengumuman Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga dua kali ganda lebih murah dan tiga kali lebih pantas yang akan bermula bulan depan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya akan berunding dengan pihak berkaitan berhubung Pakej Perpaduan Internet jalur lebar talian tetap untuk B40. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pakej Perpaduan Internet jalur lebar talian tetap khusus untuk golongan B40 akan diperkenalkan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini, beliau berkata, Ketua Setiausaha KKD, Mohammad Mentek diarah berunding dengan pihak berkaitan berhubung pakej itu.

“Sebelum ini kita umum Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih untuk telefon bimbit. Selepas ini kita hantar KSU (buat rundingan) untuk pastikan Pakej Perpaduan bagi Internet jalur lebar talian tetap,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi mengumumkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga dua kali ganda lebih murah, iaitu RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas yang akan berada di pasaran mulai bulan depan.

Pelaksanaan pakej itu melibatkan lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia dan YTL Communications.

Sementara itu, Fahmi berkata, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi memainkan peranan penting dalam melengkapkan 3% akses internet di kawasan yang belum diselesaikan serta baki 97% yang dikesan mempunyai “pothole”.

Fahmi berkata, beliau dan timbalannya, Teo Nie Ching akan memastikan isu internet dalam negara diselesaikan secepat mungkin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.