
Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah berkata, SOP mengenai RTK 2.0 akan menjadi rujukan kepada pendatang asing tanpa izin yang sudah lama bekerja di Malaysia.
“Kerajaan Indonesia juga masih memerlukan maklumat yang lebih terperinci dan jelas daripada kerajaan Malaysia untuk pelaksanaan program itu,” katanya.
Ida Fauziah berkata demikian dalam kenyataan selepas menerima kunjungan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di pejabatnya semalam.
Kedua-dua menteri berbincang mengenai perkembangan serta mencari penyelesaian bagi masalah berkaitan dengan perlindungan tenaga kerja Indonesia (TKI) di Malaysia, terutamanya pekerja domestik.
Perbincangan turut menjurus kepada hal terkait penjajaran dasar baharu Malaysia berhubung Pelan Penggajian Pekerja Asing, kata Saifuddin dalam akaun Facebook rasminya.
Beliau berkata, Indonesia ialah negara sumber kedua terbesar yang menyumbangkan pekerja ke Malaysia selepas Bangladesh, dan berperanan membantu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan Malaysia.
“Saya menyatakan hasrat untuk memperbaharui komitmen Malaysia berhubung isu kebajikan dan keselamatan pekerja asing dari Indonesia yang berkhidmat di Malaysia (agar) sentiasa dilindungi dan tiada kompromi terhadap sebarang salah laku majikan,” katanya.
Pertemuan kedua-dua menteri adalah susulan hasil pertemuan antara Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim awal bulan ini.
Dalam lawatan kerja singkat ke Indonesia, Saifuddin bertemu dengan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia Yasonna H Laoly serta Menteri Dalam Negeri Indonesia Tito Karnavian.