
Ahyat Ishak yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang hartanah berkata, ini disebabkan banyak inisiatif merakyatkan perumahan oleh kerajaan persekutuan menghadapi cabaran kerana pemilikan tanah bawah kuasa kerajaan negeri.
“Kejayaan HDB ada kaitan dengan kekuatan dan kestabilan kerajaan itu sendiri dan kuasa kerajaan pusat dalam pengambilan tanah,” katanya kepada FMT,
“Di Malaysia, agak unik apabila pelbagai inisiatif datang daripada kerajaan pusat tetapi akhirnya tanah milik kerajaan negeri.”
Situasi itu, tambahnya, menyukarkan usaha kerajaan membina lebih banyak perumahan awam di seluruh negara.
Bulan depan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menerima kunjungan kontraktor HDB Singapura bagi berkongsi pengetahuan mereka mengenai pembinaan rumah mampu milik.
Hampir 80% rakyat Singapura tinggal di flat yang ditadbir oleh HDB, dengan 90% daripadanya memiliki rumah sendiri. Flat HDB mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai salah satu model perumahan mampu milik paling berjaya di dunia.
Cadang syaratkan formula pecahan kaum
Tambah Ahyat, Malaysia boleh mensyaratkan formula pecahan kaum bagi mendiami projek perumahan awam berdasarkan sistem yang diguna pakai HDB, iaitu pemilikan kediaman berdasarkan pecahan kaum dan populasi.
“Contoh di Singapura, HDB dah tetapkan rakyatnya supaya bercampur. Pemilikan di sesebuah flat HDB ditetapkan pada kadar 70% kaum Cina, 20% Melayu dan selebihnya kaum-kaum lain. Kerana mereka mahu penduduk yang duduk di komuniti perumahan awam ini berasimilasi dan berkomuniti,” katanya.
Beliau berkata, isu perumahan awam bukan saja berlaku di Malaysia, malah negara maju seperti negara Eropah, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom juga mengalami masalah sama di bandar-bandar besar mereka. Justeru, katanya, tidak adil untuk menyatakan kerajaan sehingga hari ini gagal menyelesaikan masalah perumahan awam.
“Setiap negara mempunyai isu berbeza, kita dapati negara Barat pun berdepan masalah pemilikan hartanah yang sangat sukar. Mereka juga melihat Singapura sebagai salah satu model terbaik yang ada di dunia.
“Jadi tak salah untuk kita belajar cara Singapura merakyatkan perumahan mereka. Setiap negara ketika ini sedang mencari formula terbaik,” katanya.
Beliau berkata, Singapura juga sudah membuktikan perumahan awam mampu melahirkan komuniti berkualiti, bersih dan tersusun, berbanding sinonim dengan “lokasi tidak selamat, jenayah tinggi, dan masalah sosial.”
“Apabila Singapura modelkan perumahan awam mereka, mereka berjaya lahirkan komuniti bersih, tersusun, kita tidak akan terasa perbezaan darjat.”
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mendakwa kerajaan cuba menjejaskan pemilikan hartanah Melayu dan taburan penduduk melalui dasar perumahan.
Wan Saiful memberi amaran bahawa nasib Bumiputera akan terancam jika model HDB dilaksanakan di negara ini dengan memetik Pulau Pinang sebagai contoh kajian kes.