Tindakan pantas diperlukan dalam beberapa bidang, kata ahli ekonomi

Tindakan pantas diperlukan dalam beberapa bidang, kata ahli ekonomi

Antaranya menarik semula pelaburan dalam sektor pembuatan dan meningkatkan pendapatan isi rumah, kata ahli ekonomi.

Ahli ekonomi Barjoyai Bardai berkata, meningkatkan pendapatan isi rumah akan meningkatkan penggunaan dan membantu pertumbuhan KDNK.
PETALING JAYA:
Dua ahli ekonomi bersetuju dengan gesaan bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam agar kerajaan perpaduan mengambil tindakan proaktif untuk menyelesaikan isu yang dihadapi negara sekarang setelah masa untuk bercakap sudah tamat.

Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran dan Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Razak berkata, tindakan pantas diperlukan dalam beberapa bidang.

Katanya, Malaysia harus melihat kemungkinan membina semula pangkalan pembuatannya kerana ia beralih terlalu cepat daripada sektor pembuatan kepada perkhidmatan.

“Malaysia perlu menarik semula pelaburan (dalam bidang) pembuatan kerana pembuatan mencipta nilai tambah dan membawa masuk teknologi,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berkata, perlu ada pembaharuan dalam sektor perbankan dan buruh untuk menyediakan persekitaran yang kondusif buat pelaburan asing dan domestik.

“Pembaharuan buruh ini boleh melibatkan melonggarkan kemasukan pekerja asing dan peraturan bagi ekspatriat untuk membawa Asean lebih dekat kepada pasaran buruh yang bebas sepenuhnya.

“Pembaharuan dalam perbankan, sebaliknya, termasuk memudahkan perniagaan milik asing membuka akaun bank dan memperkenalkan kad kredit korporat sebelum dua tahun kunci kira-kira yang disahkan,” katanya.

Barjoyai berkata, kos sara hidup mesti ditangani segera disebabkan kesan bergandanya ke atas pertumbuhan negara.

“Ini kerana 65% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia ditentukan oleh penggunaan isi rumah,” katanya.

“Jadi, jika kita boleh meningkatkan pendapatan isi rumah, yang akan meningkatkan penggunaan mereka, kita boleh yakin bahawa KDNK akan stabil pada masa akan datang.”

Beliau berkata bagi mengurangkan kos sara hidup, kerajaan perlu memanfaatkan kadar inflasi rendah sebanyak 3.8% dengan memperkenalkan mekanisme untuk lebih memperlahankannya.

Ini boleh dicapai melalui harga konsesi untuk barangan makanan tertentu malah menggalakkan orang ramai membeli hasil tempatan, katanya.

Pada Jumaat, Musa memberitahu Parliament Lecture Series 1.0 masa untuk bercakap mengenai pelbagai isu yang dihadapi negara telah berlalu, dan tindakan proaktif perlu diambil segera untuk menyelesaikannya.

Beliau berkata, orang ramai akan memberi kerajaan masa tiga hingga enam bulan untuk bertindak dan, selepas itu, “mereka tidak akan bersikap sopan dengan anda”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.