
Menurut Bernama, Abdul Rahman berkata, pengurangan bilangan kapal LCS daripada enam kepada lima unit itu telah dipersetujui selepas permohonan meneruskan projek itu dibincangkan semula oleh kerajaan.
Pada 5 Jan, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata, kerajaan perpaduan akan meneruskan projek LCS sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan Tentera Laut dan negara.
Projek LCS itu, dikatakan sebagai perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah negara, diteliti tahun lepas selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa tidak ada satu kapal pun telah disiapkan walaupun Putrajaya telah membelanjakan RM6.08 bilion untuknya.
PAC berkata, Tentera Laut sepatutnya menerima lima daripada kapal itu pada Ogos tahun lepas.
Projek itu telah diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus.
Ahmad Zahid Hamidi, menteri pertahanan pada 2011, adalah antara pegawai tertinggi yang dipanggil oleh PAC semasa siasatannya.
Individu lain yang dipanggil termasuk bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein, ketua setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abd Aziz, bekas ketua audit negara Ambrin Buang, bekas panglima Tentera Laut Reza Sany, serta ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai operasi BNS.
Mac tahun lepas, pentadbiran Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk meneruskan projek itu, sebelum laporan PAC dikeluarkan pada Ogos.
Hishammuddin, yang merupakan menteri pertahanan ketika itu berkata, unit LCS pertama dijangka siap tahun ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat projek itu telah mengesyorkan agar beberapa individu didakwa.