Tengok dulu kelab mana pandai main bola, Noh akui ‘disunting’

Tengok dulu kelab mana pandai main bola, Noh akui ‘disunting’

Bekas ketua Umno Bahagian Tanjong Karang itu bagaimanapun berkata beliau mahu berehat dulu ketika ini.

Noh Omar dipecat oleh Umno Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
Noh Omar yang dipecat Umno pada Jumaat lalu mengakui ada “disunting” oleh parti lain namun tidak mahu terburu-buru membuat keputusan.

Dalam wawancara bersama Sinar Harian, bekas ketua Umno Tanjong Karang itu berkata beliau ketika ini lebih selesa menjadi “penceramah bebas” sekiranya dipanggil oleh mana-mana parti yang berhajat memanggilnya.

“Ibarat saya baru bercerai, jadi orang bercerai ni ada edah. Adalah (tawaran) tu tapi saya tak boleh buat apa sebab saya dalam edah lagi.

“Biarlah saya bertenang, berehat dan tengok dari luar. Setakat hari ini saya belum ada apa-apa keputusan,” katanya.

“Kita ni pemain, kita tengok dulu kelab mana pandai main bola.”

Noh antara calon veteran Umno boleh menang digugurkan di kerusi Parlimen Tanjong Karang pada PRU15, sehingga mengakibatkan perpecahan dalam parti itu.

Beliau kemudian meletak jawatan sebagai ketua Umno Selangor pada 20 Nov selepas mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti.

Berpengalaman luas dalam politik dan kerajaan, Noh antara pemimpin Umno yang disebut-sebut sedang dipancing Perikatan Nasional dalam usaha gabungan itu menawan Selangor.

Dalam pada itu, Noh mempersoalkan kekalahan terburuk Umno di tujuh negeri – Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Melaka – adakah kerana wujudnya tindakan sabotaj terhadap parti seperti yang dihadapi beliau dalam surat pertuduhan yang diterimanya.

“Kalau nak kata sabotaj, rekod Umno di tujuh negeri ini tiada satu kerusi Parlimen pun kita menang. Adakah kerana tujuh negeri ini kalah kerana sabotaj?

“Di Bagan Datuk tempat presiden, hanya menang 340 undi, adakah kerana berlaku sabotaj? Kenapa Tanjong Karang kalah dituduh sabotaj parti?” kesalnya.

Dalam pada itu, Noh yang menjadi ahli Umno lebih 45 tahun tidak menolak BN berpeluang membentuk kerajaan negeri bersama PH di Selangor sekiranya bekerjasama dalam PRN akan datang.

Namun, katanya, Umno hanya akan bergantung kepada kerusi majoriti Melayu yang pada hematnya amat sukar untuk dimenangi parti itu setelah apa yang berlaku.

“Kalau menang pun mungkin dua, tiga kerusi, dan akhirnya orang kita akan melukut di tepi gantang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.