Rempuh babi hutan, 4 sekeluarga cedera

Rempuh babi hutan, 4 sekeluarga cedera

Kenderaan dinaiki terbabas ke bahu jalan akibat merempuh haiwan yang cuba melintas itu.

Kejadian berlaku di Jalan Muar-Parit Sulong di sini, tengah hari tadi. (Gambar JBPM)
MUAR:
Empat sekeluarga cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan akibat merempuh seekor babi hutan di Jalan Muar-Parit Sulong di sini, tengah hari tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Zuraimi Harun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.40 tengah hari sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian didapati kereta jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa, Mohd Halid Shahid, 59, terbabas selepas melanggar seekor babi hutan yang cuba melintas.

“Mangsa mengalami patah di bahagian tulang peha, manakala tiga lagi individu di dalam kereta tersebut iaitu Norlinda Tukiman, 38, Nurisma Aliah Mohd Halid, 13, dan Muhammad Aiman Haziq Mohd Halid, 9, cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuraimi berkata operasi pasukan berkenaan membabitkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS), dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan satu jentera Water Tanker berserta 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar.

Menurutnya kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada 2.22 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.