Isu bengkel SPM hanya untuk pelajar Islam selesai

Isu bengkel SPM hanya untuk pelajar Islam selesai

PIBG SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru berkata semua yang terlibat sudah memohon maaf dan lebih banyak ketelusan akan diamalkan pada masa akan datang.

Satu catatan di media sosial minggu lalu mendedahkan sebuah sekolah di Johor Bahru mengadakan bengkel SPM di sebuah hotel hanya untuk pelajar Islam.
PETALING JAYA:
Kontroversi berhubung bengkel SPM yang diadakan secara eksklusif untuk pelajar Islam SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru berakhir secara baik, kata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

PIBG berkata, semua pihak yang terlibat sudah memohon maaf berhubung isu itu dan pada masa akan datang, pihak sekolah akan bersikap lebih telus.

“Pengajaran yang kami dapat, seperti diakui oleh pengetua sekolah, Ande Noor Munawarah Bachok, adalah pada masa akan datang, aliran maklumat mestilah telus dan dimaklumkan kepada semua.

“Perkara ini dapat diterima oleh jawatankuasa PIBG kerana semua pihak terbabit telah memohon maaf,” katanya dalam kenyataan yang ditandatangani tujuh ahli jawatankuasa.

PIBG turut memperincikan penemuannya mengenai isu tersebut serta langkah yang diperlukan untuk mengelak kejadian seperti itu berulang.

“Kami mendapati tiada proses yang sewajarnya dalam kelulusan dan penganjuran bengkel SPM yang diadakan hanya untuk pelajar Islam di sebuah hotel pada 19 dan 20 Jan.

“Ahli jawatankuasa PIBG langsung tidak dimaklumkan mengenai program sedemikian,” katanya sambil menambah, sesi bengkel itu meliputi topik mata pelajaran Islam, serta kimia dan matematik tambahan.

PIBG berkata, dua lagi program telah dianjurkan, masing-masing pada 26 dan 27 Jan, dengan yang pertama diadakan di sekolah untuk semua pelajar Tingkatan 5, dan satu lagi di hotel yang sama untuk “21 pelajar yang gagal atau ‘hampir gagal’ dalam peperiksaan”.

Katanya, proses sewajarnya sekali lagi tidak dipatuhi dalam penganjuran program pada 27 Jan.

Dalam rajutan ciapan di Twitter pada 23 Jan, pengguna media sosial @sangria200 memuat naik tangkapan skrin perbualan kumpulan sembang sekolah dalam WhatsApp, di mana ibu bapa mendakwa sekolah itu mendiskriminasi pelajar bukan Islam dengan mengadakan bengkel SPM tersebut.

Sebagai respons, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, bengkel itu tidak bersifat diskriminasi dan ditujukan untuk semua pelajar. Program itu dipecahkan kepada sesi berbeza untuk mengelak mengganggu perayaan bagi pelajar yang menyambut Tahun Baharu Cina, tambahnya.

Mengenai langkah untuk mengelak kejadian seperti itu berulang, PIBG berkata, perincian semua program sekolah, terutama yang diadakan di luar sekolah, “mesti dimaklumkan kepada seluruh jawatankuasa PIBG, daripada peringkat perancangan awal”.

“Proses yang sewajarnya untuk kelulusan, penganjuran dan pelangsungan acara dan program sebegini kemudiannya akan dimajukan kepada semua ahli PIBG.

“Kumpulan sembang WhatsApp SMK IJ Convent akan telus sepenuhnya, dengan garis panduan mengenai komunikasi beretika dalam kumpulan itu dimaklumkan kepada semua,” katanya.

Jawatankuasa PIBG itu berkata, ia akan turut memastikan semua acara atau program sekolah akan datang akan dijalankan secara adil dan sama rata buat semua pelajar, selaras titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.