
Anwar diiringi isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk lawatan rasmi ketiganya ke luar negara sejak dilantik sebagai perdana menteri.
Pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri mendarat di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada 9.40 pagi.
Ketibaan beliau disambut Menteri Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.
Turut hadir Menteri Luar Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Azfar Mohamad Mustafar.
Jadual padat menanti perdana menteri dalam rangka lawatan sehari itu bermula dengan sambutan rasmi yang diadakan di Istana.
Beliau akan membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong yang juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi.
Selepas itu kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian sebelum Anwar meninggalkan Istana untuk bertemu dengan diaspora Malaysia yang berada di republik itu.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Singapura selepas menyandang jawatan perdana menteri.
Delegasi Malaysia juga terdiri daripada Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.
Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi itu.