
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, beliau tidak dapat memberi jaminan bila perkhidmatan antara dua stesen itu akan disambung semula, kerana pihaknya masih menunggu laporan daripada pakar sebelum memutuskan berapa lama penutup itu akan berlaku.
Rapid Rail semalam menutup laluan antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya di laluan Ampang.
Penutupan itu susulan kerosakan struktur pada satu tiang yang menyebabkan landasan berhampiran stesen Bandaraya terjejas. Kerosakan itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan berhampiran.
Loke berkata, kementeriannya menunggu laporan daripada jurutera dan pakar untuk melihat sejauh mana retak pada tiang utama berhampiran stesen Bandaraya memberi kesan pada keselamatan.
“Selepas menerima laporan, kita akan memutuskan bagaimana untuk menangani (isu itu) dan membuat pengumuman terperinci dalam sehari dua lagi.
“Sementara itu kita memberi ruang kepada jurutera untuk mengkaji kekuatan struktur. Apa yang paling penting adalah keselamatan dan itulah keutamaan kami,” katanya.
Beliau juga berharap pengguna faham bahawa penutup stesen LRT itu tidak dapat dielakkan dan tiada siapa yang mahu berbuat demikian.
“Saya faham apabila sebuah stesen ditutup ia akan menjejaskan ramai pengguna tetapi saya juga berharap pengguna faham bahawa ia tidak dapat dielakkan.
“Kami mahu memastikan keselamatan tren dan penumpangnya,” katanya.