
Tiada apa-apa pada peringkat kerjayanya ini yang mencadangkan sudah tiba masanya untuk berhenti. Malah, beliau telah meraih pingat emas dan perak bersama pasangan beregu campurannya, Chan Peng Soon, sejak lima tahun lepas.
Namun, badannya bergelut untuk bertahan, dan beliau terpaksa menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya pada 2014.
“Saya hilang segala-galanya. Disebabkan saya menjalani pembedahan, kedudukan saya jatuh ke 200 teratas,” katanya kepada FMT.
Sebelum pembedahan itu, Goh dan Chan adalah antara 10 pemain beregu campuran terbaik di dunia.
Pembedahan itu menyebabkan Goh tidak dapat beraksi selama 11 bulan dan ini turut menjejaskan pendapatannya, kerana pendapatan pemain bergantung kepada kedudukan dunia mereka.
“Saya mula tertanya-tanya siapa saya kalau bukan di gelanggang? Saya tak jumpa jawapannya,” katanya kepada FMT.
Namun semakin persoalan itu direnung, Goh teringatkan cintanya terhadap sukan tersebut, yang mendorongnya berlatih sekian lama untuk menjadi pemain profesional. Pada usia kanak-kanak, beliau sudah mengikut bapanya ke gelanggang.

“Saya aktif semasa kecil, jadi (bapa saya) mula bermain badminton dengan saya, dan beritahu saya beliau harap saya dapat jadi pemain kebangsaan,” katanya.
“Badminton cinta agung saya. Saya beritahu diri sendiri, andai suatu hari saya kembali ke gelanggang, saya akan hargai setiap perlawanan.”
Menepati azamnya, Goh kembali ke gelanggang dengan cemerlang pada 2015, memperoleh pingat emas dan perak bersama Chan menjelang Sukan Olimpik Rio 2016.
Pada ketika itu, beliau mencapai kemuncak kerjayanya, dengan memenangi perak dalam acara beregu campuran. Ini menjadi detik bersejarah bagi Malaysia, dengan jutaan rakyat yang menonton dari rumah menjulang-julang pemain badminton wanita pertama memenangi pingat Olimpik.
Bagi anak jati Alor Gajah, Melaka ini, ia impiannya yang menjadi kenyataan.
“Berdiri di podium Olimpik … impian setiap atlet. Ini yang kami sasarkan,” katanya.
“Saya tak pernah bayangkan yang suatu hari saya akan berada di sana. Saya sudah berjaya! Sehingga sekarang, saya rasakan bagai bermimpi.”
Kini, pingat Olimpiknya yang berharga tergantung bersama-sama pingat emas Kejohanan Asia, pingat gangsa Sukan Komanwel, pingat perak Kejohanan All-England, serta banyak pingat lain yang diperolehnya di Sukan SEA.

Tiga tahun selepas Sukan Olimpik Rio, Goh berpisah dengan Chan, pasangan beregunya selama 13 tahun, dan seterusnya berpasangan dengan Ong Yew Sin, kemudian Low Juan Shen.
November lepas, Goh mengumumkan beliau akan bersara selepas Kejohanan Terbuka Malaysia, yang menyaksikan beliau berganding semula dengan Chan. Sayangnya, persaingan mereka tamat begitu cepat, setelah tewas pada pusingan pertama.
‘Tiada jalan pintas’
Mengimbau kerjayanya, Goh berbangga kerana telah memainkan peranan dalam menonjolkan pemain wanita dalam beregu campuran dan membuktikan bahawa atlet wanita boleh menjadi sama kuat dan berjaya seperti atlet lelaki.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa penyesalan terbesarnya adalah beliau terlalu agresif, yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan pada usia muda.
Menjadi contoh bagi atlet wanita, Goh berpesan: “Tiada jalan pintas untuk menjadi atlet profesional. Kamu perlu benar-benar tekad dan berdisiplin, dan betul-betul jaga diri.
“Jangan mudah tercedera,” katanya.
Kini setelah bersara, Goh tidak sabar untuk lebih bebas.
“Dengan badminton, kami mengembara sepanjang masa, jadi kami tiada masa untuk menyambut Tahun Baharu Cina.”
Apa fokusnya sekarang? Sesuatu yang “mencabar”, katanya, seperti mendaki atau menyelam. Juga sukan yang lebih tenang seperti golf.
Beliau juga mempunyai impian “rahsia” yang sudah lama dipendam – berlakon! Sambil tersenyum, Goh memberitahu FMT, beliau ingin memainkan watak yang “berkeperibadian teguh”.
Ini tidak jauh berbeza dengan dirinya yang sebenar.