Mudah bagi kerajaan jawab tuduhan jika laporan IRC didedah, kata G25

Mudah bagi kerajaan jawab tuduhan jika laporan IRC didedah, kata G25

G25 berkata orang ramai perlu mengetahui cadangan dibuat dalam laporan itu bagi membolehkan mereka mendesak pembaharuan disegerakan.

Ambiga Sreenevasan (dua dari kanan) antara sebahagian ahli jawatankuasa yang meneliti pembaharuan institusi ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lebih mudah untuk Putrajaya menjawab tuduhan jika laporan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) didedahkan kepada awam, kata kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 yang turut menggesa dokumen itu disiarkan.

G25 berkata, orang ramai perlu mengetahui cadangan dibuat dalam laporan itu bagi membolehkan mereka mendesak pembaharuan disegerakan.

Apabila sokongan kepada perubahan ini semakin meningkat, ia akan menjadi lebih mudah bagi kerajaan untuk menangkis tuduhan yang mendakwa pembaharuan itu adalah sebahagian konspirasi Barat dan Yahudi untuk melemahkan orang Melayu dan Islam, katanya.

“Cara terbaik untuk menangani pandangan negatif seperti itu adalah menyiarkan Laporan IRC untuk orang ramai melihat cadangan itu sendiri,” kata G25 dalam kenyataan.

G25 berkata, IRC turut berhubung dengan masyarakat termasuk kumpulan itu untuk memperkasakan sistem tadbir urus dan undang-undang.

Kata G25, maklum balas diberikan kumpulan itu kepada IRC adalah berasaskan kepada empat tema iaitu jawatankuasa pemilihan Parlimen; meningkatkan keyakinan ekonomi di Malaysia; pembiayaan politik dan pentadbiran hal berkaitan Islam di Malaysia.

G25 juga berkata, cadangan pembiayaan politik oleh aktivis anti-rasuah Edmund Terrence Gomez, yang dikemukakan dalam laporan IRC dibuat selepas mengambil pandangan pelbagai kumpulan perniagaan, parti politik dan ketua masyarakat.

“Kami juga mendapatkan maklum balas untuk cadangan kami daripada pakar pembiayaan politik dari Amerika Syarikat dan Australia,” katanya.

Awal minggu ini, aktivis yang juga peguam Ambiga Sreenevasan menggesa laporan dibuat oleh IRC pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan disiarkan kepada umum.

Ambiga berkata, jawatankuasa itu membuat banyak cadangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia, Akta Hasutan, Sosma, salah laku polis, hukuman mati dan beberapa perkara lain.

Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata, pembaharuan perlu dilakukan segera kerana desakan untuk pembaharuan mungkin tertangguh jika berlaku satu lagi kejadian seperti Langkah Sheraton, merujuk gerakan politik yang menumbangkan kerajaan PH pada 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.