
Timbalan Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Mohd Noor Daud, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis melancarkan serbuan di sebuah taman permainan di Bukit Minyak, pada 9 pagi, dan menahan seorang lelaki berusia 49 tahun.
“Polis merampas satu ketulan mampat ganja seberat 7.2g bernilai RM550 bersama lelaki itu dan siasatan awal polis mempercayai lelaki berkenaan yang juga seorang buruh berada di taman permainan tersebut bagi menunggu pelanggan.
“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat, kediaman sekeluarga berkenaan di Bukit Mertajam pada 10.30 pagi hari sama dan menahan isteri lelaki tersebut yang berusia 53 tahun serta anak lelaki mereka berusia 23 tahun,” katanya pada sidang akhbar.
Beliau berkata, polis merampas empat ketulan mampat ganja seberat 1,363g dan 18 peket heroin seberat 2,209g dianggar bernilai RM52,715 di rumah itu.
Mohd Noor berkata, keluarga berkenaan disyaki aktif dalam sindiket itu sejak Januari tahun lalu bagi pasaran sekitar Seberang Perai Tengah dan polis turut menyita dua motosikal.
Katanya, bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran dan semua dadah dirampas boleh digunakan 3,579 penagih.
“Mereka menjadikan rumah sebagai tempat menyimpan stok dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa kerana kediaman tersebut didiami keluarga,” katanya.
Menurutnya, ujian air kencing mendapati semua mereka negatif dadah, namun lelaki pertama yang ditahan mempunyai sembilan rekod lampau dadah serta jenayah dan anaknya pula memiliki dua rekod berkaitan dadah.
Katanya, semua suspek direman seminggu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.