
Penunjuk perasaan berarak dari Masjid As-Syakirin KLCC seusai solat Jumaat, sambil melaungkan “Jahanan Sweden”, “Hidup Islam”, dan “Bangkit Melayu”. Mereka disertai ahli politik PAS dan Bersatu.
Antara yang kelihatan, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, dan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.
Paludan membakar al-Quran ketika tunjuk perasaan di depan Kedutaan Turki di ibu negara Sweden, Stockholm, pada 21 Jan lalu dengan kebenaran polis negara itu. Menurut laporan Al-Arabiya, Paludan dalam permitnya menyatakan tunjuk perasaan itu adalah terhadap Islam dan cubaan presiden Turki mempengaruhi kebebasan bersuara di Sweden.
Pembakaran kitab suci itu mengundang kecaman banyak pihak termasuk Amerika Syarikat yang menarik perhatian bahawa ia berlaku ketika Sweden memerlukan persetujuan Turki untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
“Kita nak tunjuk seluruh dunia dan kerajaan Sweden, perbuatan ahli politik mereka telah menyakitkan perasaan kita,” kata Faizal ketika berucap kepada penunjuk perasaan.
“Kita tak ada masalah dengan rakyat mereka, kita ada masalah dengan perbuatan pemimpin mereka yang menyakitkan umat Islam.”
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nazir Helmi, berkata empat wakil penunjuk perasaan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Sweden petang tadi. Mereka adalah beliau dan Ashraf, seorang wakil mahasiswa dan seorang selebriti, Caprice atau Ariz Ramli.
Semalam, Kementerian Luar memanggil kuasa usaha sementara Kedutaan Sweden bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap tindakan Paludan membakar Al-Quran.