Nasib KJ, individu lain dalam Umno diputuskan MKT esok, kata Zahid

Nasib KJ, individu lain dalam Umno diputuskan MKT esok, kata Zahid

Presiden Umno berkata, status Khairy dan beberapa individu yang dilihat mensabotaj parti dalam PRU15 akan diputuskan MKT.

Pemimpin atau ahli Umno yang bakal dipecat atau digantung akan didedahkan selepas mesyuarat MKT berakhir, kata Ahmad Zahid Hamidi.
PUTRAJAYA:
Nasib bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam parti itu dijangka diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam esok.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukan sahaja soal status Khairy akan dibincangkan, sebaliknya nasib beberapa individu lain yang dilihat mensabotaj parti pada PRU15 turut akan diputuskan MKT.

“Tunggu apabila MKT buat mesyuarat.

“Untuk dia (Khairy) secara individu tidak penting, saya kata dalam PAU 2022 (perhimpunan agung Umno) kita akan lakukan pembersihan besar-besaran termasuk mereka yang sabotaj parti dan calon parti dalam PRU15, dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri ketika PRU,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dengan Exco Luar Bandar.

Ditanya berapa ramai lagi pemimpin atau ahli Umno yang bakal dipecat atau digantung, Zahid berkata ini akan didedahkan selepas mesyuarat MKT berakhir.

“Bila (pembersihan) besar-besaran maknanya adalah (yang akan dipecat), mana terasa atau belum terasa insya-Allah esok malam akan terasa.

“Tak boleh bagitahu awal (jumlah yang akan dikenakan tindakan). Sila datang beramai-ramai kalau nak mengetahui senarai mereka yang terlibat,” katanya.

Zahid berkata demikian mengulas status Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, yang sebelum ini mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul pada PAU 2022.

Menerusi satu video di TikTok, Khairy berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan “import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan.

Khairy sebelum ini mengkritik gesaan untuk menghalang jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan rakan-rakan dalam partinya, dan menyifatkannya sebagai “kegilaan” dan cubaan untuk menyekat demokrasi.

Dalam perkembangan lain, Zahid turut menafikan bahawa kritikan terhadap kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung isu pemberian wang ketika pilihan raya sebagai cubaan putar belit bagi mengelirukan orang awam.

Katanya, apa yang diperkatakannya selaras pendirian Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki yang menyifatkan apa juga bentuk pemberian semasa kempen pilihan raya merupakan rasuah politik.

Zahid mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS, Ahmad Yahaya membidas pandangan sinisnya terhadap kenyataan Hadi sebelum ini berhubung isu pemberian wang ketika pilihan raya sebagai cubaan mengelirukan orang awam.

Ia susulan Zahid menyelar sikap “double standard” presiden PAS yang mempertahan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.