Kes bunuh Nhaveen: Laporan pertama saya ‘tak betul’, kata saksi

Kes bunuh Nhaveen: Laporan pertama saya ‘tak betul’, kata saksi

T Previin juga tidak pasti sama ada anggota polis datang merakamkan percakapan saksinya ketika dirawat di hospital pada 2017.

T Previin (left) talking to activist Arun Dorasamy (right) at the High Court in George Town. With them is Nhaveen’s mother, D Shanti.
GEORGE TOWN:
Saksi utama dalam kes bunuh T Nhaveen mengejutkan Mahkamah Tinggi di sini apabila mendakwa laporan polis dibuatnya selepas pergaduhan yang mengakibatkan kematian rakannya enam tahun lalu sebagai “tidak benar”.

T Previin juga kurang bersetuju dengan percakapan saksi direkodkan seorang anggota polis ketika beliau dimasukkan ke hospital disebabkan kecederaan mata akibat pergaduhan sama.

“Begitu ramai orang melawat saya di hospital. Saya tidak dapat ingat siapa mereka semua.

“Saya tidak pasti jika seorang anggota polis datang. Mungkin ada dua polis yang datang,” katanya kepada peguam bela Naran Singh.

Terdahulu, Naran mencadangkan Previin melarikan diri dari tempat kejadian selepas diserang tertuduh di Jalan Kaki Bukit, seperti dinyatakan dalam laporan pertama kepada polis.

Naran turut mencadangkan bahawa laporan polis Previin dibuat kemudian pada 2021 yang mendakwa melihat lima tertuduh membelasah Nhaveen di Padang Openg, Bukit Gelugor telah direka atas desakan aktivis Arun Dorasamy.

Previin bagaimanapun menafikan cadangan itu.

Sehubungan itu Timbalan Pendakwa raya Khairul Anuar Abdul Halim menyoal kenapa Previin mengambil masa lebih empat tahun untuk membuat laporan polis baharu berhubung kes itu.

Previin menjawab beliau sibuk belajar di Lembah Klang dan menganggap kes itu tidak akan didakwa memandangkan polis nampak “tidak berminat” meneruskannya.

Katanya, selepas perbicaraan bermula, Arun menawarkan bantuan dan mencadangkan beliau membuat laporan polis baharu untuk menambahkan beberapa butiran dalam laporan asal.

“Malah, Arun membantu saya mendraf laporan itu,” katanya.

Beliau turut menafikan Arun mempengaruhi keterangannya di mahkamah seperti didakwa barisan peguam bela.

S Gopinaath, 30, J Ragesuthan, 22, S Gokulan, 22, dan dua tertuduh juvana didakwa membunuh Nhaveen antara jam 11 malam hingga tengah malam di taman Jalan Bunga Raya pada 9 Jun 2017.

Mereka turut didakwa menyerang Previin berhampiran Karpal Singh Learning Centre, Bukit Gelugor pada malam sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Radzi Hamid bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.