Siasat dalang kekecohan bukan pembantu Ahli Parlimen, ahli politik beritahu polis

Siasat dalang kekecohan bukan pembantu Ahli Parlimen, ahli politik beritahu polis

Charles Santiago menganggap tindakan polis menyiasat dua pembantu Ahli Parlimen itu sebagai "tidak logik".

Tangkap layar memaparkan kekecohan yang berlaku ketika ceramah Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar pada tahun lalu.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mempersoalkan tindakan polis yang menyiasat dua pembantu Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan menganggap tindakan itu sebagai “tidak logik”.

Katanya, siasatan itu hanya menimbulkan ketakutan dalam kalangan wakil rakyat dan pembantu mereka untuk bersuara.

“Kita telah menjadi sebuah demokrasi yang matang di mana kita sebenarnya boleh hidup tanpa rasa takut kepada polis,” katanya kepada FMT.

Terdahulu hari ini, Nur Suhana Ishak pembantu kepada Ahli Parlimen Bentong dari DAP Young Syefura Othman dan Setiausaha Akhbar Rafizi Ramli, Farhan Iqbal dipanggil polis untuk disiasat kerana fitnah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Suhana dipanggil ke balai polis Sentul, manakala Farhan dipanggil ke balai polis Putrajaya.

Mereka disiasat berhubung satu kenyataan di Twitter yang mendakwa kekecohan yang berlaku dalam satu ceramah Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar pada tahun lalu didalangi Pemuda Umno.

Perkara itu disahkan oleh Suhana dalam satu kenyataan di Twitter.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata beliau terkejut apabila mengetahui Farhan dan Suhana dipanggil untuk disiasat.

“Polis sepatutnya menyiasat siapa dalang disebalik insiden provokasi tersebut, tetapi sebaliknya memilih untuk menyiasat kenyataan yang dihantar oleh Farhan dan Suhana.

“Provokasi dilakukan berkali-kali sepanjang tempoh saya berkempen. Tetamu juga sudah membuat laporan polis berkenaan gangguan dan kerosakan harta benda yang berlaku… tetapi sehingga sekarang ia masih lagi dalam siasatan,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan.

Dalam hantaran di Twitter miliknya, Suhana berkata, beliau “dengar cerita” ahli Pemuda Umno yang mengganggu ceramah presiden Muda tersebut.

Bagaimanapun, dalam hantaran Twitter yang lain, Suhana menjelaskan bahawa beliau hanya dengar cerita bahawa Pemuda Umno dalang kekecohan itu.

Dalam video kejadian itu yang dimuat naik di media sosial menunjukkan kumpulan 30 orang yang bermotosikal itu turut membuat bising dan menjerit memanggil Syed Saddiq sebagai penipu.

Anggota polis juga dilihat menghalang kumpulan itu daripada menghampiri lokasi ceramah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.