
Jumlah itu melonjak daripada 1,703 mangsa yang dicatatkan sehingga jam 8 malam semalam.
Menerusi satu kenyataan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan PPS ialah 30 di daerah Kota Tinggi, Kluang, Mersing dan Segamat.
“Segamat terus menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 1,392 orang daripada 393 keluarga ditempatkan di 13 PPS diikuti Kluang dengan 785 orang daripada 223 keluarga ditempatkan di sembilan PPS,” kata kenyataan itu, menurut Bernama.
Ia berkata, seramai 471 orang daripada 120 keluarga ditempatkan di enam PPS di Kota Tinggi manakala di daerah Mersing terdapat dua PPS yang menempatkan 264 penduduk daripada 97 keluarga.
JPBN turut memaklumkan, selain tiga laluan di Kota Tinggi, Jalan Senai-Gemas (FT001) dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung, kedua-duanya di Segamat, turut ditutup kepada semua kenderaan.
Berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, ia menunjukkan empat sungai di Johor melepasi paras bahaya dengan trend menaik iaitu Sungai Muar (muara Sungai Gemas) berada di paras 19.12 meter, Sungai Lenik (Ladang Chaah) 7.34 meter, Sungai Segamat (Segamat Kecil) 37.9 meter dan Sungai Kahang (Kampung Contoh) 15.11 meter.