
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek patut menyatakan pendiriannya dan menangani isu diskriminasi kaum yang didakwa berlaku di sekolah.
“Keputusan menteri membiarkan isu kepada Pejabat Pendidikan Daerah sangat mengecewakan dan ia seperti mengelak tanggungjawab beliau untuk mempromosikan perpaduan di peringkat sekolah.
“Sikap ini bertentangan dengan konsep Malaysia Madani – merangkumi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa – yang dipromosikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.
Sebelum ini seorang pengguna Twitter @sangria200 mendakwa sebuah sekolah di Johor Bahru mengadakan bengkel peperiksaan SPM dengan mengumumkannya hanya untuk pelajar mata pelajaran agama Islam sahaja.
Dia turut mendakwa bengkel itu meliputi mata pelajaran seperti Kimia dan Matematik Tambahan dan pelajar bukan Islam langsung tidak dimaklumkan mengenainya.
Jabatan Pendidikan Johor berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.
Tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu yang dikongsi di media sosial menunjukkan pengetua menghalang ibu bapa yang mempersoalkan bengkel itu dengan hanya membenarkan pentadbir menghantar mesej dan mengaktifkan tetapan memadamkan mesej perbualan.
Fadhlina pada mulanya berkata, perkara itu akan disiasat oleh Jabatan Pendidikan Johor tetapi Kementerian Pendidikan kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa bengkel itu diadakan dalam beberapa siri untuk tidak mengganggu persiapan calon yang menyambut Tahun Baharu Cina.
Pusat Komas berkata, penjelasan kementerian dan tindakan pengetua di kumpulan WhatsApp ketika ditanya ibu bapa adalah bercanggah.
“Berdasarkan perbualan di kumpulan WhatsApp yang dikongsi ibu bapa, bengkel itu diadakan untuk pelajar Islam dengan alasan kerana merangkumi mata pelajaran agama Islam.
“Cubaan kementerian membetulkan keadaan dengan mendakwa satu lagi sesi bengkel akan diadakan dilihat tidak ikhlas,” katanya.
Kumpulan itu turut menggesa tindakan diambil terhadap mereka yang mengamalkan diskriminasi kaum dan agama di sekolah.
“Biarlah ini menjadi peringatan bahawa isu perkauman tidak disorok lagi,” katanya.