Gubal Akta Pembiayaan Politik tangani pemberian wang ketika pilihan raya, kata Bersih

Gubal Akta Pembiayaan Politik tangani pemberian wang ketika pilihan raya, kata Bersih

Bersih berkata, akta itu perlu segera dilaksanakan ketika timbul dakwaan terhadap PAS kerana membeli undi.

Bersih berkata undang-undang jelas menyatakan bahawa pemberian wang tunai atau apa-apa yang berharga kepada pengundi ketika pilihan raya adalah satu bentuk rasuah dan sogokkan.
PETALING JAYA:
Kumpulan pemantau pilihan raya, Bersih menggesa kerajaan segera mengubal Akta Pembiayaan Politik untuk menangani amalan rasuah ketika pilihan raya.

Bersih berkata, akta itu perlu segera dilaksanakan ketika timbul dakwaan terhadap PAS kerana membeli undi.

“Bersih menegaskan bahawa pemberian wang tunai atau apa-apa yang berharga ketika pilihan raya adalah rasuah.

“Untuk menangani masalah serius ini ia tidak hanya memerlukan penguatkuasaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tetapi juga pelaksanaan Akta Pembiayaan Politik dan menubuhkan satu jawatankuasa tetap parlimen untuk meneliti sistem dan proses pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bersih juga mencadangkan satu jawatankuasa tetap berkenaan hal-hal pilihan raya dan demokrasi pelbagai parti ditubuhkan dalam persidangan parlimen pada bulan depan bagi menyemak dan menerima maklum balas orang ramai terhadap Akta Pembiayaan Politik.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Sabtu lalu mempertahankan pemberian wang tunai di tiga kawasan Parlimen di Terengganu beberapa hari sebelum PRU15 selepas parti itu dituduh membeli undi.

Ketika menjawab mengenai petisyen yang difailkan Umno Terengganu untuk membatalkan keputusan di tiga Parlimen itu, Hadi berkata, individu yang dirakam dalam video mengagihkan wang kepada pengundi sebenarnya memberi sedekah.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, undang-undang pilihan raya menyatakan hanya calon dan ejen mereka dilarang daripada memberi wang.

Bagaimanapun, Bersih berkata, tidak penting tindakan itu dilakukan secara terus oleh calon atau pihak ketika kerana Akta Kesalahan Pilihan raya menyatakan sebarang wang tunai atau apa-apa yang berharga diberi kepada pengundi ketika tempoh pilihan raya untuk mempengaruhi seseorang itu untuk mengundi atau menghalang daripada mengundi adalah satu bentuk rasuah.

“Undang-undang jelas menyatakan ini adalah satu kesalahan, pihak berkuasa sama ada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu menyiasat dan Jabatan Peguam Negara perlu mendakwa individu yang terlibat sebelum mahkamah boleh membuat keputusan,” katanya.

Bersih berkata, kenyataan Hadi itu menyokong dakwaan bahawa wang tunai diagihkan ketika PRU15, dan mahkamah perlu diberi peluang untuk membuat tafsiran mengenai perkara tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.