6 Feb tarikh akhir Ahli Parlimen PAS disaman Anwar fail pembelaan

6 Feb tarikh akhir Ahli Parlimen PAS disaman Anwar fail pembelaan

Tarikh itu diberikan kepada Ahmad Amzad Hashim oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Nordiana Abd Aziz.

Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim berhubung kenyataan dibuat kepada sekumpulan pelanggan di sebuah restoran pada 7 Dis yang kemudian disiarkan di TikTok.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang yang berdepan saman daripada Anwar Ibrahim kerana didakwa membuat kenyataan fitnah dengan menuduh presiden PKR itu berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor, diarah memfailkan pembelaan sebelum atau pada 6 Feb ini.

Peguam Anwar, SN Nair berkata, tarikh itu diberikan kepada Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim selepas pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Nordiana Abd Aziz pada Ahad lalu.

Defendan diwakili peguam Saiffuddin Othman.

Nair yang dibantu Jaden Phoon dan Wong Guo Jin, berkata Nordiana juga menetapkan pengurusan kes seterusnya saman itu pada 6 Feb ini.

Dalam pernyataan tuntutan difailkan 22 Dis lalu, Anwar mendakwa pada 7 Dis lepas, defendan membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.

Dakwa pengerusi Pakatan Harapan itu, kenyataan terbabit diterbitkan semula di aplikasi TikTok bawah nama @nelly3868 pada hari sama (7 Dis) dan mendapat tontonan melebihi 4,980 kali, 62 komen, 116 butang “like”, 18 butang “favourite” dan 50 kali perkongsian serta boleh diakses sehingga kini.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata kenyataan fitnah itu dipetik dan diterbitkan oleh Malaysiakini, keesokannya (8 Dis) menerusi artikel bertajuk “S’gor economic adviser job: Anwar seeks public apology from MP”.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau (Anwar) tidak boleh dipercayai serta tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada kerajaan Selangor sebagai penasihat ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai penasihat ekonomi serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Anwar mendakwa kenyataan fitnah itu palsu, berniat jahat dan memperlekehkannya yang mempunyai imej sangat disanjungi di peringkat negara dan antarabangsa kerana beliau menentang rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.