35 terperangkap di tapak perkhemahan

35 terperangkap di tapak perkhemahan

Semua mangsa terperangkap selepas jalan keluar dari tapak perkhemahan itu runtuh akibat banjir dan tidak boleh dilalui kenderaan.

Bomba terpaksa membuat laluan alternatif supaya kenderaan yang terperangkap di tapak perkhemahan itu boleh menggunakan jalan pantai untuk keluar jalan besar. (Gambar Bomba)
JOHOR BAHRU:
Keseronokan berkhemah di sebuah tapak perkhemahan di Kota Tinggi bertukar detik ngeri apabila kira-kira 35 orang terperangkap di Tanjung Lompat, susulan banjir, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penawar Masri Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai perkara itu pada jam 2.19 petang.

Susulan itu, sebuah jentera FRT dan sebuah Hilux bersama sembilan anggota dikejarkan di tempat kejadian bagi membantu mangsa yang terperangkap, kata beliau.

“Tebing saliran yang menjadi laluan utama keluar masuk ke tapak perkhemahan berkenaan runtuh akibat banjir sehingga menyebabkan aliran itu menjadi selebar 6.1m sekali gus menutup laluan dan menghalang kenderaan untuk keluar dari situ.

“Pihak bomba kemudiannya membuka laluan alternatif berdekatan di sebuah hotel supaya kenderaan yang terperangkap boleh menggunakan jalan pantai untuk keluar jalan besar,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Masri berkata mangsa yang terdiri seramai 12 lelaki, 11 wanita, tujuh kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan kemudiannya dinasihati berkemas dan pulang ke kediaman masing-masing.

Beliau berkata sebanyak 16 kenderaan yang terperangkap pada mulanya berjaya menggunakan laluan alternatif berkenaan untuk keluar.

Operasi tamat sepenuhnya pada 7.50 malam ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.