
Tan, 45, mula meminati seni potongan kertas tradisional Cina atau “jianzhi” ketika bekerja di sebuah pusat membeli belah pada usia 20-an.
Beliau teruja melihat ketekunan seorang artis memotong bentuk rumit pada kepingan kertas merah sempena Tahun Baru Lunar.
“Saya rasa gembira melihatnya,” katanya kepada FMT.

“Saya fikir ini sesuatu mudah untuk dilakukan. Kemudian saya mencubanya.”
Namun andaian Tan meleset. Meskipun nampak mudah tapi sebenarnya rumit dan memakan masa.
Tan, yang lebih dikenali sebagai “Long Ge” dalam kalangan penduduk tempatan, mula menjual hiasan kertas tradisional di sebuah gerai kecil di Jonker Street bersama hasil tangannya yang lain seperti kasut ukiran kayu.
Kedainya yang dikenali Red Handicrafts dibuka pada 2006. Di dalamnya, ada tanglung gergasi tergantung di siling, manakala meja dan rak terpamer haiwan-haiwan zodiak, poskad, dan perhiasan berwarna terang.

Menurut Tan, penting bagi seseorang memahami sejarah dan budaya di sebalik seni potongan kertas tradisional. Ia berasal dari China sejak abad ke-2 (101-200) apabila kertas dicipta dan berkembang pesat semasa dinasti Ming dan Qing (1368-1912).
Memotong kertas, katanya, memerlukan banyak kesabaran dan perhatian demi mencapai keterperincian – tetapi, yang paling penting, ia memerlukan semangat.
Setiap ciptaannya tidak dicantumkan begitu sahaja, sebaliknya direka dengan teliti agar ia menjelmakan ciri-ciri budaya Cina secara jelas dan berkesan.
“Sebagai contoh dalam reka bentuk ‘kemakmuran’, terdapat bunga dan rama-rama, yang mewakili pasangan suami isteri,” katanya.
“Terdapat juga ikan emas, biji teratai dan bunga teratai yang melambangkan pasangan itu akan dikurniakan anak dan cucu pada masa akan datang.”

Menurut Tan, kertas merah lebih kerap digunakan kerana warna itu melambangkan keharmonian dan kemakmuran.
Namun beliau juga menggunakan kertas pelbagai warna, yang hasilnya lebih cerah dan menarik perhatian.
Tan yang lazimnya menghasilkan 10 buah bagi setiap reka bentuk mengakui menghadapi masalah untuk menjual semua. Disebabkan itu beliau beralih kepada menghasilkan poskad yang lebih laris dalam kalangan pelancong.
Beliau juga sering mencari cara menggabungkan rekaannya ke medium lebih moden. Menggunakan stensil, beliau mencetaknya pada beg tote dan kemeja-t yang turut menjadi tarikan pelancong. Tan menjadikannya berwarna-warni untuk menarik perhatian orang muda.
Beliau berharap dengan memodenkan reka bentuknya, ia mampu menarik menarik generasi minat orang muda untuk memilih seni potongan kertas tradisional Cina.
Red Handicrafts
30c, Jalan Hang Kasturi,
75200 Melaka
Waktu operasi: 10 pagi-6 petang (setiap hari)
Nombor untuk dihubungi: 019-374 1668