
Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata Rani, 64, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting dan disahkan meninggal dunia sekitar 5 pagi.
“Solat jenazah sudah dilaksanakan di Hospital Banting, dan jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid As-Syarif, Meru, Kapar, dekat sini untuk solat jenazah kali kedua. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru hari ini,” katanya.
Rani meninggalkan seorang isteri, empat orang anak, dan 11 cucu.
Beliau merupakan seorang doktor perubatan yang mendapat pendidikan di Mesir, sebelum menjadi ADUN Meru mewakili PAS selama dua penggal bermula pada 2008 hingga 2018.
Rani pernah menjawat jawatan Yang Dipertua PAS Kapar dan Pesuruhjaya PAS Selangor 2011 hingga 2013, menggantikan Dr Hassan Mohd Ali dan kemudiannya diganti oleh Iskandar Abd Samad.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menerusi ciapan di Twitter mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat Rani.