
Beliau berkata, negara perlu memanfaatkan bakat dan kemahiran anak seni tempatan seperti Yeoh bagi kegunaan domestik, yang boleh dieksport dalam bentuk produk seni seperti filem.
“Jadi, saya lihat bagaimana kita boleh ubah kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara bukan pengeksport bakat yang menjadi ‘brain drain’ untuk kita, tetapi kita eksport hasil karya seni untuk santapan dunia,” katanya dalam program Bual Konti terbitan RTM.
Pada 11 Jan, pelakon Malaysia Michelle Yeoh memenangi anugerah pelakon wanita terbaik Golden Globe dalam kategori muzikal/komedi bagi filem “Everything Everywhere All At Once”, sebuah filem komedi sains fiksyen terbitan Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau akan memastikan penambahbaikan dilakukan melibatkan RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ke arah penghasilan lebih kandungan filem yang berkualiti untuk dieksport.
“Kita mesti buat sedikit rekalibrasi bagi Finas contohnya, untuk pastikan pembikin filem … diberikan kemudahan tambahan, di samping itu kita bagi insentif,” katanya.
Beliau berkata, filem memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan minda masyarakat.
Pengalamannya dalam bidang seni telah menyedarkannya mengenai kesukaran bakat tempatan menceburi bidang perfileman, tambahnya.
“Waktu itu (menceburi bidang seni), pengalaman yang membuka mata bagi saya, macam mana susahnya nak jadi anak seni di Malaysia,” katanya.