
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S Jegan berkata, penahanan dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah lori lapan tan yang mencurigakan sedang mengisi diesel pada 4 petang.
“Semasa serbuan, seorang lelaki berusia 50-an, yang juga pemandu lori, sedang mengisi diesel dan pemeriksaan kami menemukan satu unit tangki besi khas berkapasiti 12,000 liter diletak di belakang kenderaan tersebut yang digunakan untuk mengisi serta mengumpul diesel bersubsidi dari stesen minyak.
“Hasil pemeriksaan menemukan 4,000 liter diesel bersubsidi dalam tangki besi tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan siasatan awal, katanya, lelaki yang bekerja dengan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi itu membeli bahan api berkenaan di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini sebelum ia dijual semula kepada pihak lain.
Jegan berkata, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak sebulan lepas dan mereka dipercayai menjual kepada pihak lain dengan harga lebih murah berbanding pasaran, namun lebih mahal berbanding diesel subsidi yang ditetapkan oleh kerajaan.
Katanya, pihaknya merampas lori, diesel, tangki besi, hos pam dan telefon bimbit untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.