Bagaimana kamu kenal pasti ‘niat sebenar’ beri wang ketika berkempen, kata C4

Bagaimana kamu kenal pasti ‘niat sebenar’ beri wang ketika berkempen, kata C4

Kumpulan anti-rasuah, C4, menjawab alasan bahawa pemberian wang ketika PRU bergantung kepada 'niat' pemberi.

Umno Terengganu mencabar keputusan PRU15 di Parlimen Marang, yang dimenangi Presiden PAS, Hadi Awang. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Kumpulan anti-rasuah, The Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), mempersoalkan bagaimana seseorang boleh tahu ‘niat’ di sebalik pemberian wang ketika kempen pilihan raya.

Pemangku CEO, Pushpan Murugiah, berkata pihaknya tidak boleh terima penjelasan bahawa pemberian wang bergantung kepada ‘niat’ pemberi.

“Bagaimana nak kenal pasti niat sebenar?” katanya kepada FMT. “Kami tak boleh terima alasan itu.”

Terdahulu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Hamzah Zainudin, mempertahankan pemberian wang ketika pilihan raya kerana tindakan itu bergantung kepada ‘niat’ pemberi.

Menurutnya, dalam situasi tertentu, ada pengundi meminta wang daripada calon.

Beliau berkata demikian selepas Presiden PAS, Hadi Awang, dikritik kerana mempertahankan pemberian wang selepas PAS didakwa menyogok pengundi beberapa hari sebelum PRU15, dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan Terengganu.

Menurut Hadi, “Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi. Jadi orang awam nak bagi sedekah terpulang pada dia lah.”

Hamzah ketika diminta mengulas kritikan terhadap Hadi itu berkata, “Mereka yang minta dari calon ada yang nak guna untuk baiki rumah…kerana itu kita kena hati-hati dalam niat kita memberi duit itu kepada meminta.”

Pushpan bagaimanapun berkata sebarang pemberian wang ketika berkempen “suatu bentuk rasuah dan tidak boleh diterima”.

C4 menyeru penguatkuasaan undang-undang kesalahan pilihan raya yang lebih ketat, dan perancangan jangka masa panjang seperti memperkenalkan akta pendakwaan politik bagi mengawal sumbangan kepada parti politik.

Katanya, perbelanjaan pilihan raya parti politik harus dipantau agar kes pembelian undi boleh dikurangkan atau dibasmi.

Dalam pada itu, bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Wan Ahmad Wan Omar, berkata negara tidak perlukan undang-undang kesalahan pilihan raya kalau wang diberi dengan ‘niat baik’.

Katanya, pemberian wang semasa tempoh berkempen adalah rasuah, “sama ada berniat baik atau tidak, apabila tiba tempoh berkempen, saya fikir niat itu sudah jelas.”

Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan raya menyatakan “tiap-tiap orang” sebelum, semasa, atau selepas sesuatu pilihan raya secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui orang lain bagi pihaknya, memberikan “apa-apa pemberian” bagi mendorong orang itu mendapatkan mana-mana orang dipilih, hendaklah disifatkan bersalah atas kesalahan menyogok.

Susulan dakwaan terhadap PAS, Umno Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan PRU15 di Parlimen Marang yang dimenangi Hadi, Kuala Terengganu, dan Kemaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.