Anwar kembali ke ibu pejabat MCA selepas 25 tahun

Anwar kembali ke ibu pejabat MCA selepas 25 tahun

Kali terakhir Anwar Ibrahim mengunjungi Wisma MCA adalah pada 1998, tahun sama beliau dipecat daripada Jemaah Menteri dan Umno berhubung dakwaan rasuah dan liwat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim disambut Presiden MCA Wee Ka Siong dan pemimpin tertinggi parti yang lain sebaik tiba pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Selepas suku abad, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akhirnya menjejakkan kaki semula ke ibu pejabat MCA di sini bagi menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina.

Kali terakhir Anwar mengunjungi Wisma MCA adalah pada awal 1998, tahun sama beliau dipecat daripada Jemaah Menteri dan Umno berhubung dakwaan rasuah dan liwat.

“Saya sangat gembira dapat kembali ke (Wisma) MCA selepas 25 tahun, ramai kawan-kawan lama saya jumpa,” katanya kepada pemberita.

“Saya dipecat dari Umno (pada 1998), (kemudian) saya dalam penjara, tak sempat datang (acara MCA). Tetapi sekarang saya boleh (hadir),” katanya.

Tambahnya, persahabatannya dengan pemimpin MCA tidak pernah putus selama ini walaupun berbeza pandangan dari semasa ke semasa.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tiba di Wisma MCA berbaju batik merah, diiringi isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau disambut oleh Presiden MCA Wee Ka Siong dan pemimpin tertinggi parti yang lain sebaik tiba.

Anwar mengucapkan “Selamat Tahun Baharu Cina” kepada semua hadirin dan berterima kasih kepada Wee atas undangan itu.

Turut hadir pada acara itu ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Zahid berkata, kehadiran Anwar di Wisma MCA selepas 25 tahun adalah petanda yang baik dalam landskap politik baharu.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abd Kadir, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing, dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing turut hadir pada acara sambutan perayaan tersebut.

Anwar dan tetamu kehormat lain mengambil bahagian dalam acara Yee Sang sebelum dihiburkan dengan persembahan tarian singa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.