Miti kaji laksana semula rundingan FTA Malaysia-EU

Miti kaji laksana semula rundingan FTA Malaysia-EU

Tengku Zafrul Aziz berkata Kesatuan Eropah berminat menyambung semula rundingan perjanjian bebas itu selepas tertangguh sejak 2012.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata Jemaah Menteri akan memutuskan sama ada akan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan EU disambung semula atau tidak. (Gambar Bernama)

DAVOS (Switzerland): Selepas hampir sedekad sejak rundingan ditangguhkan secara rasminya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) kini sedang menilai semula perjanjian perdagangan bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (EU).

“EU berminat untuk menyambung semula rundingan. Kami terbuka. Kami perlu melihat semula perbincangan sebelum ini. Kami sedang membuat semakan dan menilai situasi,” kata menterinya, Tengku Zafrul Aziz apabila ditanya sama ada Malaysia akan melaksanakan semula rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Apabila proses itu selesai, perkara tersebut akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk diputuskan sama ada akan disambung semula atau tidak, katanya kepada Bernama pada akhir Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023, hari ini.

“Oleh itu, semua ini perlu berlaku sebelum Malaysia boleh menyambung semula rundingan dengan EU secara rasminya. Justeru, semua pilihan berkaitan perjanjian tersebut masih terbuka.

“Bagaimanapun, jika ia tidak baik untuk Malaysia, kita tidak akan menandatanganinya,” katanya.

Malaysia dan EU melancarkan perbincangan mengenai FTA pada 2010, tetapi selepas tujuh pusingan rundingan, ia telah ditangguhkan pada 2012.

Malaysia kemudiannya memberi tumpuan kepada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang telah diratifikasi dan berkuat kuasa, pada 29 Nov 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.