Jangka hayat vaksin Covid-19 CanSino dilanjutkan

Jangka hayat vaksin Covid-19 CanSino dilanjutkan

Tempoh jangka hayat baharu yang diluluskan adalah daripada 15 bulan kepada 18 bulan, apabila disimpan pada suhu 2°C sehingga 8°C.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara beri jaminan semua vaksin Covid-19 telah dinilai dari aspek kualiti, keselamatan, dan keberkesanan.
PUTRAJAYA:
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan permohonan variasi daripada Solution Biologics Sdn Bhd berhubung pengemaskinian tempoh jangka hayat produk bagi vaksin Covid-19, Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), untuk suntikan.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A Halim, berkata tempoh jangka hayat baharu yang diluluskan adalah daripada 15 bulan kepada 18 bulan, apabila disimpan pada suhu 2°C sehingga 8°C.

Beliau berkata pelanjutan jangka hayat itu melibatkan vaksin MAL21066050AZ yang dikilang di CanSino Biologics Inc, China; dan MAL22126013ASZ yang dikilang di Solution Biologics Sdn Bhd, Malaysia.

“Pelanjutan tempoh jangka hayat produk diberikan berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan oleh pihak pengilang.

“Kelulusan pelanjutan jangka hayat ini secara retrospektif, bermaksud kelulusan ini juga terpakai kepada semua stok termasuk semua stok yang telah diterima sebelum variasi pelanjutan tempoh jangka hayat ini diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhaliza berkata Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 yang dibekalkan telah dinilai dari aspek kualiti, keselamatan, dan keberkesanan oleh NPRA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.