Amah Indonesia tak sedar hak mereka, kata kumpulan pembelaan

Amah Indonesia tak sedar hak mereka, kata kumpulan pembelaan

Perlu ada kesedaran hak dalam kalangan pekerja domestik Indonesia di Malaysia, kata persatuan pekerja asing negara itu.

Pekerja domestik Indonesia tidak menyedari hak mereka mengikut perjanjian ditandatangani antara Malaysia-Indonesia, tahun lalu.
PETALING JAYA:
Kebanyakan pekerja domestik Indonesia tidak sedar hak undang-undang mengenai perjanjian perlindungan ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Indonesia, kata sebuah kumpulan pembelaan.

Penasihat persatuan pekerja asing domestik Indonesia Pertimig, Bariyah, berkata tidak cukup sekadar memberi taklimat berhubung kontrak pekerjaan bagi pekerja domestik ketika tiba di Malaysia.

Demi mengatasi masalah itu, Pertimig menganjurkan perhimpunan pekerja domestik pada Ahad, bertujuan memberi makluman hak mereka seperti termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) Malaysia-Indonesia, termasuk dasar kerajaan.

Pertimig juga memberi panduan mengenai dokumen kontrak pekerjaan yang mungkin agak mencabar untuk difahami walaupun disediakan pihak kedutaan dalam Bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris.

“Kami mahu mereka sedar risiko didera atau keganasan di tempat kerja dan apa yang mereka perlu lakukan sekiranya berdepan kes seperti itu,” katanya kepada FMT.

“Kami memperkasa pekerja domestik supaya tidak hanya berdiam diri dan menerima sahaja layanan, bahkan perlu berani membuat laporan sekiranya mereka didera secara fizikal dan mental, termasuk berdepan gangguan seksual di tempat kerja.”

Pertimig juga memberi panduan berhubung perundingan mendapatkan gaji lebih tinggi dan perkara berkaitan seperti cuti.

MoU ditandatangani meliputi gaji pekerja domestik dan sistem baharu bagi pekerja untuk memfailkan aduan susulan kebimbangan berdepan layanan tidak wajar pembantu rumah Indonesia di Malaysia.

Majikan, ejen pengambilan disenarai hitam

Duta Indonesia Hermono memberitahu FMT, pihak kedutaan menerima laporan pelanggaran kontrak awal bulan ini membabitkan pekerja domestik yang dibawa ke Malaysia melalui sistem pusat sehenti (OCS), September lalu.

Pekerja terbabit digaji untuk menjaga warga emas, namun dia sebaliknya diarah mencuci kuil dan membersihkan kereta. Dia hanya diberikan sisa makanan.

Pertimig membangkitkan isu itu kepada kedutaan, dengan pekerja berkenaan diberikan perlindungan. Persatuan itu juga sudah memanggil ejen pengambilan bagi menyelesaikan pelanggaran kontrak antaranya dengan majikan.

“Majikan dan agensi itu akan kita senaraihitamkan selepas kes diselesaikan, jadi mereka tidak boleh lagi menggaji pekerja Indonesia,” katanya.

Lagi kes dera

Bariyah berkata, Pertimig juga menerima empat laporan kes eksploitasi melibatkan pekerja domestik. Kes itu juga sudah dilaporkan kepada pihak kedutaan.

Tiga daripada pekerja itu digaji selepas MoU. Mereka diambil oleh ejen Malaysia, bukannya menerusi OCS.

“Ejen berjanji dengan pekerja domestik berkenaan permit kerja dan kerja yang bagus. Tetapi, akhirnya tiada seorang pun diberi permit,” katanya.

Empat pekerja domestik, seperti juga seorang yang berada dalam penjagaan kedutaan, berdepan penderaan fizikal, tidak dibayar gaji, tidak diberikan cuti dan diarah melakukan tugasan yang bukan dipersetujui. Seorang daripadanya hanya diberi akses menggunakan telefon bimbit hanya selama sejam setiap sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.