Rakyat anggap KWSP ‘tabung buluh’, simpanan demi kelangsungan hidup

Rakyat anggap KWSP ‘tabung buluh’, simpanan demi kelangsungan hidup

Pakar ekonomi melihat pengeluaran KWSP bukan penyelesaian mampan terhadap masalah kewangan rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

Desakan untuk kerajaan membenarkan sekali lagi pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) timbul semula bertujuan mengelak rakyat terputus perbelanjaan tunai.
KUALA LUMPUR:
Bayangkan di tangan anda hanya ada RM42 untuk dibelanjakan setiap bulan selama 20 tahun selepas bersara kelak.

Itulah kemungkinan dihadapi kira-kira 6.1 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah, berikutan simpanan hari tua mereka hanya berbaki kurang daripada RM10,000, setakat Disember 2021.

Hakikat itu dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan pada Mac tahun lalu, semasa mengulas kedudukan simpanan persaraan kira-kira 12.6 juta pencarum tabung berkenaan selepas tiga kali pengeluaran khas, iaitu i-Lestari, i-Sinar dan yang terakhir i-Citra, pada Februari 2022.

Jelas, kerajaan juga khuatir dengan hal itu apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Ahad lalu, dilapor tegas menyatakan lebih baik kerajaan memikirkan bentuk bantuan lain daripada membenarkan pengeluaran khas KWSP sekali lagi seperti yang digesa oleh beberapa pihak.

Pakar ekonomi yang dihubungi Bernama bersetuju dengan kenyataan Anwar apabila masing-masing melihat pengeluaran KWSP bukan penyelesaian mampan terhadap masalah kewangan rakyat dalam mengharungi peningkatan kos sara hidup sekarang.

Tangani isu kos sara hidup

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Mohamad Fazli Sabri, berkata bagi menyelesaikan masalah ekonomi rakyat, kerajaan perlu mencari penyelesaian proaktif dan tuntas susulan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Ini termasuk memperkasa rantaian bekalan dan sekuriti makanan bagi memastikan harga barangan dapat diturunkan serta kekal terkawal.

“Saya percaya jika masalah kos sara hidup dan isu berkaitan peningkatan harga barang ini dapat ditangani dengan baik, kebajikan rakyat akan terbela,” katanya sambil menyatakan inisiatif diambil juga harus berterusan sehingga ekonomi benar-benar pulih.

Beliau tidak menolak ramai yang melihat simpanan KWSP sebagai “penyelamat segera” mereka bagi mendapatkan tunai secara mudah demi kelangsungan hidup semasa.

“Sekiranya pencarum mahu keluarkan simpanan mereka atas alasan itu, kita juga khuatir cabaran yang akan kita hadapi pada masa akan datang. Mungkin keadaan ekonomi ketika itu lebih mencabar dan bagaimana pencarum nak ‘survive’ pada waktu itu dengan tabungan (persaraan) yang sangat sedikit,” katanya.

Baru-baru ini, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) menggesa kerajaan menimbang pengeluaran caruman KWSP antara RM10,000 dan RM30,000 secara sekali gus, yang mana menurut presidennya, Khairul Anuar Othman, bertujuan mengelak rakyat terputus perbelanjaan tunai.

Ini kerana katanya masih ada pencarum terkesan Covid-19, termasuk belum memperoleh pekerjaan baharu selepas diberhentikan ketika penularan pandemik itu memuncak, sedangkan mereka mempunyai komitmen kewangan tinggi seperti tunggakan bayaran balik pinjaman.

Tak semestinya bantuan tunai

Fazli juga berpandangan ada pelbagai pendekatan tidak bersandarkan bantuan tunai boleh diambil kerajaan menerusi pendedahan dalam bidang kemahiran dan teknikal.

“Pendedahan dalam bidang kemahiran dan teknikal serta berkaitan ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ akan meningkatkan kebolehpasaran mereka seiring dengan trend industri semasa,” katanya.

Pandangan senada turut disuarakan Ketua Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan yang melihat ekonomi gig serta perusahaan kecil dan sederhana sebagai pendekatan tepat menjana ekonomi rakyat.

“Perkara ini pernah dilaksanakan kerajaan terdahulu tetapi mereka (syarikat) diberikan insentif tunai…bagi saya, tidak perlu insentif tunaipun, mungkin kerajaan boleh memberi insentif menerusi pemotongan cukai kepada syarikat terbabit sekiranya mereka membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan,” sarannya.

Institusi zakat

Pada masa sama beliau tidak menyangkal ada antara rakyat yang benar-benar kesempitan dan memerlukan aliran tunai segera demi kelangsungan hidup, khususnya bagi mendapatkan barangan keperluan asas termasuk menjelaskan bil utiliti.

Bagi menangani isu itu, beliau berpendapat pusat zakat boleh memainkan peranan dengan memperluas pemberian bantuan kepada bukan asnaf yang kehilangan punca pendapatan.

Yakin kaedah itu dapat membantu mereka yang terdesak perlukan aliran tunai, Nurul Shahnaz berkata, langkah tersebut juga boleh mengalihkan perhatian rakyat daripada KWSP yang seakan sudah menjadi “tabung buluh” mereka.

“Mungkin juga bantuan boleh dibuka kepada bukan Islam yang memerlukan, misalnya memberikan bantuan modal untuk mereka memulakan perniagaan,” kata beliau.

Bagi menangani masalah bebanan bayaran balik pinjaman yang semakin meningkat berikutan kenaikan kadar faedah, beliau mengesyorkan pihak perbankan memperkenalkan semula moratorium.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.