Pengusaha penginapan digesa daftar dengan Motac

Pengusaha penginapan digesa daftar dengan Motac

Pendaftaran di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya adalah mandatori seperti ketetapan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Kementerian pelancongan berkata, ia bertujuan mengawal kewujudan rumah kediaman yang dijadikan rumah penginapan atau inap desa yang semakin bertambah. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Pengusaha premis penginapan berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendaftar sebagai premis penginapan pelancong (PPP) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Motac dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendaftaran di bawah kementerian itu adalah mandatori seperti ketetapan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Menurut Motac, ia bertujuan mengawal kewujudan rumah kediaman yang dijadikan rumah penginapan atau inap desa yang semakin bertambah selain membolehkan pengusaha mematuhi syarat dikenakan serta mengelak sebarang aduan pengguna.

“Pelaksanaan ini juga bertujuan untuk mengelakkan premis penginapan pelancongan dijadikan tempat transit kepada penjenayah berikutan ia tidak mempunyai sebarang maklumat keluar masuk pelancong seperti hotel,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan statistik, hanya 4,771 premis telah berdaftar sebagai PPP sedangkan masih banyak premis penginapan berlesen dan beroperasi di seluruh negara belum memohon pendaftaran di bawah Motac.

“Motac menggalakkan semua premis penginapan ini untuk berdaftar sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil pada masa akan datang.

“Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan atau Tourism Licensing (Tourlist) di laman https://www.tourlist.gov.my/,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Motac, premis penginapan telah berdaftar sebagai PPP dan memenuhi syarat penggredan diminta mengemukakan permohonan penggredan kepada pejabat Motac negeri berkenaan.

Pelbagai insentif boleh dinikmati premis yang telah diberikan penggredan oleh Motac antaranya pengambilan pegawai dagang atau pekerja asing, insentif cukai, bantuan kewangan daripada kerajaan dan bantuan mempromosikan premis sama ada di dalam atau luar negara.

Garis panduan pendaftaran PPP, penggredan PPP dan kriterianya boleh dirujuk di laman https://www.motac.gov.my/.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.